
KUALA LUMPUR - Tiga kenderaan termasuk sebuah treler, terbakar dalam satu kemalangan di bawah jejambat Udini, Jalan Masjid Negeri di Jelutong, Pulau Pinang pagi tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan berkenaan.
Selain treler, sebuah kereta dan sebuah van pelancong turut musnah dalam insiden tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikejarkan ke lokasi.
Menurut beliau, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 7.26 pagi, kira-kira enam kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan tiga buah kenderaan di bawah jejambat Udini akibat kemalangan. Mangsa yang terlibat masih belum dikenal pasti.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 7.33 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan bahawa mereka telah mengerahkan warden trafik ke lokasi bagi mengawal lalu lintas.
Rakaman video kebakaran boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/share/r/1KnuJYLdea/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 15 Mei 2026





