OLEH AIDA NYAN
KUALA LUMPUR, 9 JAN: Rapid KL melancarkan tren dan bas bertemakan watak adiwira Malaysia, Mechamato bagi menarik minat generasi muda menggunakan pengangkutan awam.
Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail, Nor Azmi Mohd Yusof berkata menerusi kerjasama dengan syarikat animasi tempatan Monsta Studios Sdn Bhd (Monsta) itu, sebanyak tiga tren dan tiga bas dibalut pelekat bertemakan Mechamato.
“Kita dapat memupuk pengetahuan tentang penggunaan pengangkutan awam. Pihak kerajaan juga menggalakkan anak-anak menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan karbon dan kesesakan lalu lintas.”

“Kami memang terbuka untuk kolaberasi dengan mana-mana syarikat yang boleh membawa kebaikan dan manfaat kepada masyarakat”, katanya kepada Media Selangor selepas Majlis Pelancaran Rapid KL X Mechamato di Stesen Monorel Hang Tuah, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Monsta Studio, Kee Yong Pin turut teruja dapat memberi peluang kepada orang ramai mendekati Mechamato menerusi pengangkutan awam.

“Kita nampak negara-negara lain yang maju, mereka sentiasa buat kolaberasi dengan watak-watak supaya anak-anak dari kecil lagi didedahkan kepada pengangkutan awam”, katanya.
Pada majlis tersebut, pelajar-pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2 turut diraikan.
Menerusi kerjasama ini, orang ramai boleh menaiki transit aliran ringan (LRT), monorel dan bas yang bertemakan adiwira Mechamato.

The post Tren, bas tema adiwira Mechamato, pikat penguna pengangkutan awam appeared first on Selangorkini.

