Tren monorel bawa 373 penumpang terkandas, seorang wanita pengsan

20 Nov 2025 • 2:32 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Seorang wanita pengsan selepas sebuah tren monorel yang membawa 373 penumpang terkandas di Laluan Medan Tuanku berhampiran Maju Junction, pagi tadi.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohamad Remi Che Hat, wanita berkenaan berusia 58 tahun dan semua 373 penumpang berjaya dipindahkan.

Jelasnya, Bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 9.42 pagi dan mendapati tren berkenaan terkandas di laluan Medan Tuanku.

“Pihak pengurusan monorel memaklumkan keadaan adalah terkawal, manakala kerja memindahkan penumpang dilakukan oleh pasukan penyelenggaraan.

“Sebanyak 373 penumpang berjaya dipindahkan dan terdapat seorang mangsa wanita berusia 58 tahun yang pengsan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan perkhidmatan tren di Laluan Monorel kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 11.33 pagi selepas kerja-kerja baik pulih berjaya dilaksanakan.

Rapid Rail memberitahu, kejadian dilaporkan pada jam 8.50 pagi melibatkan sebuah tren bernombor 25 mengalami gangguan bekalan kuasa mengakibatkan tren tersebut berhenti di antara Stesen Medan Tuanku dan Stesen Titiwangsa.

“Menurut laporan, seorang penumpang telah pengsan di dalam tren tersebut. Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut berada di lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa.

“Pasukan perubatan turut berada di lokasi bagi memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa pulang oleh ahli keluarga.

“Semua penumpang lain telah dibawa ke Stesen Medan Tuanku untuk meneruskan perjalanan masing-masing,’’ katanya.

Pasukan kejuruteraan Rapid Rail, katanya, bertindak segera dengan menunda tren terbabit ke depoh bagi menjalankan pemeriksaan lanjut manakala perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara percuma ulang alik telah ditamatkan.

‘Kekerapan tren diselaraskan secara berperingkat,’’ katanya sambil memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna. - 20 November, 2025

The post Tren monorel bawa 373 penumpang terkandas, seorang wanita pengsan appeared first on Scoop.