Trend menurun PMI sektor pembuatan pada suku ketiga 2023 timbulkan kebimbangan terhadap ekonomi negara – TA Securities
diyana
03/10/2023 - 12:41
KUALA LUMPUR 3 Okt - Trend menurun indeks pengurus pembelian (PMI) sektor pembuatan yang berterusan pada suku ketiga 2023 menimbulkan kebimbangan kerana ia berkemungkinan mencerminkan prestasi penunjuk ekonomi kritikal, termasuk keluaran perindustrian, eksport dan akhirnya, keluaran dalam negara kasar (KDNK).
TA Securities berkata demikian susulan sektor pembuatan di Malaysia dilaporkan terus merosot di bawah ambang kritikal 50 mata, menunjukkan kekurangan pertumbuhan.
Menurut firma penyelidikan itu, sepanjang sembilan bulan pertama 2023, purata PMI sederhana pada 47.8.
Sementara itu, PMI bagi September jatuh kepada 46.8 berbanding 47.8 pada Ogos, yang menandakan cabaran selanjutnya bagi firma sektor pembuatan, dengan keadaan perniagaan menyederhana ke tahap paling besar sejak Januari.
“Hubung kait yang diperhatikan antara PMI pembuatan dan perangkaan ekonomi rasmi mendedahkan keadaan ekonomi yang lemah di negara ini.
“Penjajaran ini menunjukkan bahawa sektor pembuatan, pemacu penting pertumbuhan ekonomi, sedang menghadapi cabaran, dan isu ini meluas ke aspek ekonomi yang lain,” ujar firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
TA Securities menambah bahawa kehadiran faktor asas yang tinggi pada suku ketiga dijangka menambah tekanan menurun ke atas angka pertumbuhan.
Fenomena ini, katanya, menambahkan lagi cabaran yang dihadapi pembuat dasar dan perniagaan, menonjolkan keperluan langkah proaktif untuk merangsang pemulihan ekonomi dalam persekitaran semasa.
Walaupun menghadapi cabaran yang berterusan, firma itu berkata syarikat pembuatan di Malaysia mempamerkan keyakinan yang semakin meningkat.
“Keyakinan ini didorong terutamanya oleh kepercayaan bahawa kelemahan semasa dalam permintaan akan beransur-ansur hilang. Akibatnya, tahap keyakinan keseluruhan telah mencapai tahap tertinggi sejak Mei.
“Sentimen positif ini biasanya dikaitkan dengan jangkaan persekitaran permintaan lebih baik, yang akan memudahkan aliran masuk tempahan baharu dan mewujudkan peluang perniagaan baharu. Namun begitu, firma kekal berhati-hati kerana ketidakpastian mengenai masa pemulihan,” tambahnya. - DagangNews.com

