Lonjakan transaksi nirtunai di kampus Malaysia semakin meningkat. PayNet telah mengumumkan rekod baharu bagi Digital Campus 4.0 dengan 58.7 juta transaksi digital pada tahun 2025 iaitu lebih dua kali ganda berbanding 24.4 juta transaksi pada tahun 2024.

Peningkatan ini menunjukkan bahawa pelajar universiti awam semakin menjadikan pembayaran nirtunai sebagai sebahagian daripada rutin harian bukan lagi sekadar trend sementara. Dengan penggunaan yang konsisten setiap hari, budaya nirtunai semakin sebati dalam kehidupan kampus dan membentuk tabiat jangka panjang. Perkembangan ini turut menandakan perubahan nyata dalam kalangan generasi muda dengan sistem kewangan sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap infrastruktur pembayaran negara.

Pengumuman oleh PayNet ini turut mengesahkan penyertaan penuh daripada 20 universiti awam dan 11 universiti swasta menjadikan capaian Digital Campus paling luas sejak ia dilancarkan. UiTM Cawangan Perlis muncul peneraju kategori awam dengan purata 98 transaksi per capita manakala INTI International College Subang mengetuai kategori swasta dengan 127 transaksi per capita. Kedua-duanya menerima RM100,000 sebagai ganjaran. Ini membuktikan bahawa Digital Campus bukan sekadar kempen tetapi ruang bagaimana pelajar telah menjadikan pembayaran nirtunai sebagai rutin harian.
Dalam perkembangan yang sama, PayNet turut menekankan kesan ekonomi yang jelas dengan hampir 600,000 pelajar dan lebih 7,500 peniaga kecil terlibat. Manfaat yang diperoleh termasuk aliran tunai yang lebih stabil serta rekod transaksi yang lebih teratur sekali gus memperkukuh ekosistem ekonomi digital negara.


