Trip.com tawar diskaun kepada penumpang Malaysia Airlines, Firefly

22 Mar 2024 • 3:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Trip.com tawar diskaun kepada penumpang Malaysia Airlines, Firefly

zulfadli

22/03/2024 - 15:54

KUALA LUMPUR 22 Mac - Trip.com bekerjasama dengan Malaysia Airlines dan anak syarikatnya, Firefly untuk menawarkan penumpang syarikat penerbangan itu kod promosi istimewa di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Agensi pelancongan dalam talian itu berkata, baucar fizikal diberikan kepada penumpang syarikat penerbangan tersebut selepas mereka mendaftar masuk di mana-mana tiga lapangan terbang berkenaan, bagi mendapatkan promosi kod bernilai lebih RM100 kesemuanya.

Katanya, kempen itu dijalankan di ketiga-tiga lapangan terbang berkenaan dari sekarang hingga 14 April 2024 atau sehingga baucar habis, yang mana lebih awal.

"Beberapa tawaran termasuk diskaun RM40 untuk tempahan penerbangan (perbelanjaan minimum RM300), tempahan diskaun hotel RM20 (perbelanjaan minimum RM250), diskaun RM45 untuk lawatan dan tempahan tiket (perbelanjaan minimum sebanyak RM400) dan lain-lain seperti diskaun untuk pertukaran lapangan terbang dan sewa kereta.

Pengarah Pemasaran Kanan (Singapura, Malaysia dan Indonesia) Trip.com, Edmund Ong berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan untuk menjangkau pengguna dalam talian.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Malaysia Airlines dan Firefly dalam inisiatif ini untuk menjangkau pengguna baharu yang tidak berpeluang mencuba perkhidmatan Trip.com sebelum ini, sambil membawa lebih banyak nilai kepada penumpang mereka.

"Kami berharap dapat membantu lebih ramai pelancong merancang perjalanan seterusnya selepas mereka mendaftar masuk untuk penerbangan mereka yang akan datang," katanya. - DagangNews.com