Triti Laut Sulawesi tidak melibatkan Ambalat

15 Aug 2023 • 4:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Mohamad Alamin ketika sidang media mengenai isu Ambalat di Wisma Putra pada Selasa. Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia tidak melibatkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat tetapi hanya membabitkan sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

"Kita belum rundingi apa kawasan yang dikatakan sebagai Ambalat atau 200 batu nautika keatas atau apa yang dikatakan sebagai zon ekonomi eksklusif (ZEE).

"Tidak dirundingi dan belum dirundingi,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Mohamad berkata demikian susulan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Tungku Assaffal Alian di persidangan DUN Sabah pada 10 Ogos lepas yang mendakwa kononnya Malaysia telah menyerahkan Ambalat kepada Indonesia.

Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi atau Ambalat yang terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah itu, timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.

Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu.

"Dalam erti kata lain, triti tersebut tidak melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat," menurut Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Jun.

Sementara itu, Mohamad menegaskan kerajaan Persekutuan amat mengambil berat dan sentiasa berhati-hati mengenai soal triti yang melibatkan soal persempadanan maritim kedua-dua negara.

Beliau berkata, setiap keputusan yang dibuat berkaitan soal triti maritim adalah berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982.

"(Ia juga melibatkan) pakar antara kerajaan Malaysia, Indonesia dan penglibatan kerajaan negeri Sabah. Tidak sekalipun sentuh soal Ambalat...jauh lagi kawasan itu,” katanya serta menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Sabah komited mempertahankan kedaulatan negara serta perairan Sabah.

Mohamad berkata, kenyataan Assafal mengenai Ambalat itu mengelirukan masyarakat dan berunsur fitnah selain menggesa beliau segera mengemukakan permohonan maaf.

"Rujuk Wisma Putra dan jangan buat kenyataan mengelirukan masyarakat hingga sampai tahap fitnah...jangan tambah perkara tidak wujud dan timbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya. - Bernama