
REMBAU – Seorang operator pengeluaran kilang di sini, meraih jualan kasar lima angka hasil kreativiti membuat troli perniagaan mudah alih atau mobile cart.
Mohd. Hafiz Mohd. Yusof, 33, berkata, perniagaan diusahakan sejak empat bulan lalu bersama rakan kongsi, Yoki Solehudin, 27, tercetus selepas dia melihat potensi permintaan terhadap troli perniagaan yang bukan sahaja praktikal, tetapi mempunyai reka bentuk menarik dan diubah suai mengikut cita rasa pelanggan.
Katanya, idea itu timbul selepas berdepan cabaran ketika mengusahakan perniagaan kafe sebelum mengambil keputusan menutup operasi makanan dan minuman di premis awal yang diceburinya selama enam tahun.
“Semasa saya buka kafe, saya lihat ramai berminat untuk berniaga. Jadi, saya nampak potensi mobile cart ini sebab semua orang nak berniaga.
“Pada mulanya saya ke kilang bagi mendapatkan contoh troli sebelum menghasilkannya. Saya belajar melalui YouTube kerana sebelum ini tidak mengenali jenis material seperti kayu dan papan yang sesuai digunakan.
“Banyak kali saya melakukan penyelidikan dan pembangunan, termasuk lebih lima kali percubaan tidak menjadi. Ada cat luntur dan kemasan tidak memuaskan, tetapi daripada kesilapan itu saya belajar memperbaiki kualiti produk,” katanya di Taman Rembau Utama, di sini baru-baru ini.
Bapa kepada empat anak berusia antara lima bulan hingga enam tahun itu berkata, dia berjaya menghasilkan 100 unit troli dijual pada harga antara RM600 hingga RM2,000 bergantung kepada saiz, reka bentuk dan kelengkapan dipesan pelanggan.
Ujarnya, troli berukuran 0.91 hingga 1.83 meter panjang dengan lebar 0.61 meter itu boleh ditempah mengikut kesesuaian perniagaan termasuk jualan kopi, makanan dan pameran kosmetik selain dilengkapi pilihan bumbung, roda dan lampu diod pemancar cahaya (LED).
The post ‘Troli comel’ beri pulangan lima angka appeared first on Kosmo Online.


