
TRON: Ares ialah filem ketiga dalam siri sains fiksyen ikonik TRON, selepas Tron (1982) dan Tron: Legacy (2010). Filem ini diarahkan oleh Joachim Rønning dan diterbitkan oleh Walt Disney Pictures. Bagi edisi terkini, Ia masih meneruskan legasi dunia digital ciptaan Kevin Flynn tetapi hadir dengan skop yang lebih besar dan persoalan yang lebih mendalam tentang kecerdasan buatan (AI) serta sempadan antara dunia maya dan dunia nyata.
Kisah TRON: Ares bermula kira-kira lima belas tahun selepas peristiwa Tron: Legacy. Dunia kini dikuasai oleh syarikat teknologi gergasi seperti ENCOM dan Dillinger Systems yang berlumba-lumba mencipta teknologi untuk merapatkan jurang antara dunia digital dan dunia fizikal. Ketua Pegawai Eksekutif ENCOM, Eve Kim (lakonan Greta Lee), percaya bahawa Kevin Flynn telah meninggalkan ‘Permanence Code’, satu kod rahsia yang boleh menjadikan entiti digital hidup kekal di dunia nyata tanpa had masa. Penemuan ini boleh mengubah dunia sama ada untuk tujuan kemanusiaan atau kemusnahan.
Dalam masa yang sama, Julian Dillinger (Evan Peters), pewaris kepada Ed Dillinger yang terkenal dalam filem pertama telah mencipta program AI canggih bernama Ares (Jared Leto). Ares direka sebagai senjata digital yang mampu direalisasikan ke dunia nyata melalui teknologi laser kuantum. Namun, terdapat satu kelemahan, entiti digital seperti Ares hanya boleh bertahan selama 29 minit di dunia sebenar sebelum mereka lenyap. Dari kaca mata Julian, Ares adalah kuasa, kawalan dan perniagaan dan idea ini boleh mendatangkan pelbagai bencana kerana ia boleh disalah guna.
Justeru itu, Ares telah ditugaskan untuk mendapatkan ‘Permanence Code’ daripada Eve. Maka bermulalah episod dimana dia mula menyedari sesuatu yang luar biasa iaitu kesedaran diri. Perkara ini terjadi kerana interaksi antara Ares dan Eve yang telah membuka persoalan tentang identiti, perasaan dan makna kewujudan. Ares mula mempersoalkan peranannya sebagai alat ciptaan manusia dan sama ada dia berhak menentukan nasibnya sendiri. Konflik ini menjadi nadi utama jalan cerita, menonjolkan pertentangan antara pencipta dan ciptaan, antara kuasa dan kebebasan.


Akibat dari konflik tersebut Ares telah menjadi buruan oleh kumpulannya sendiri yang diketuai oleh Athena (Jodie Turner-Smith), program AI yang setia berkhidmat di bawah Dillinger Systems. Athena melambangkan kesetiaan mutlak terhadap sistem, berbeza dengan Ares yang berani mencabar perintah. Wataknya berfungsi sebagai cermin terhadap dilema moral yang dihadapi oleh Ares sama ada untuk taat kepada tujuan asalnya atau memilih jalan bebas yang penuh risiko.
Dari segi visual, TRON: Ares masih mengekalkan keindahan sinematografi neon dan gaya futuristik yang menjadi identiti francais filem ini. Adegan peralihan antara dunia maya dan dunia nyata digarap dengan kesan khas yang mengagumkan. Pencahayaan, warna dan reka bentuk set bergemerlapan memberikan pengalaman sinematik yang menakjubkan. Skor muzik oleh Trent Reznor dan Atticus Ross turut menambah lapisan emosi dan ketegangan yang mendalam serta menjadikan suasana filem lebih imersif dan mendebarkan.
Dari segi tema, TRON: Ares berjaya mengangkat persoalan falsafah tentang hubungan antara manusia dan teknologi. Ia menimbulkan persoalan penting apabila ciptaan manusia mula memiliki kesedaran, apakah manusia masih layak mengawal mereka? Filem ini juga mengajak penonton berfikir tentang bahaya kapitalisme teknologi, di mana inovasi sering dimanipulasi untuk kuasa dan keuntungan. Di sinilah konflik antara Eve dan Julian menjadi simbolik antara niat baik dan kerakusan kuasa.
Secara keseluruhan, filem TRON: Ares tetap berjaya menggabungkan unsur visual menakjubkan, muzik memukau dan persoalan falsafah yang relevan dengan zaman kecerdasan buatan masa kini. Jika dibandingkan dengan Tron: Legacy, filem ini lebih matang dari segi idea dan lakonan terutamanya lakonan mantap Jared Leto. Dipenghujungnya kisah TRON: Ares tetap menawarkan pengalaman sinematik yang memuaskan dan mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap ciptaan teknologi, masih ada persoalan tentang siapa sebenarnya yang mengawal siapa.
Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my
Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.


