Trump ‘bangga’ bolot minyak Venezuela

WorldPolitics
30 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Trump ‘bangga’ bolot minyak Venezuela

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bakal memperoleh kawalan majoriti ke atas lebih 65 bilion tong rizab minyak terbukti Venezuela menerusi perjanjian baharu yang diumumkan Presiden Donald Trump.

Trump menyifatkan perjanjian dengan Presiden sementara Venezuela, Delcy Rodriguez, sebagai ‘yang terbesar dalam sejarah dunia’, manakala Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata ia akan membawa hampir AS$100 bilion (RM402 bilion) pelaburan swasta ke Caracas.

Presiden AS itu mengumumkan perjanjian tersebut kelmarin menerusi platform media sosialnya, namun butiran mengenai terma perjanjian masih belum didedahkan.

Beliau mendakwa, pentadbirannya berjaya mendapatkan kawalan majoriti ke atas lebih 65 bilion tong rizab minyak terbukti Venezuela tanpa melibatkan kos kepada pembayar cukai Amerika.

Trump berkata, Rubio dan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, mencapai perjanjian tersebut dengan Rodriguez melalui kerjasama dengan sektor perniagaan swasta.

Menurutnya, perjanjian itu akan meningkatkan lebih dua kali ganda rizab minyak AS. 

Beliau juga berkata, perjanjian itu akan membantu menurunkan harga petrol untuk rakyat Amerika ketika beliau berdepan tekanan susulan kejatuhan sokongan menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.

Venezuela dianggarkan mempunyai 303 bilion tong rizab minyak terbukti, yang merupakan terbesar di dunia.

Kerajaan Venezuela berada di bawah tekanan serta pemantauan ketat pentadbiran Trump sejak AS menggulingkan dan menangkap bekas pemimpin negara itu, Nicolas Maduro, pada Januari lalu.

Washington kemudian membenarkan bekas naib presiden Maduro, Rodriguez, kekal sebagai pemangku presiden dengan syarat beliau ‘tunduk’ kepada pendirian AS.

Trump sebelum ini tidak menyembunyikan hasratnya untuk mendapatkan bekalan minyak Venezuela bagi kepentingan AS.- AGENSI

The post Trump ‘bangga’ bolot minyak Venezuela appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved