
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau terlalu sibuk sepanjang lawatan ke Asia untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un seperti yang dicadangkan sebelum ini.
Bagaimanapun, Trump berkata, kedua-dua pemimpin akan mengadakan pertemuan pada suatu masa nanti, lapor NBC News.
“Hubungan itu masih wujud, tetapi kami tidak bertemu,” katanya kepada wartawan NBC News, Gabe Gutierrez, ketika dalam penerbangan pulang ke Washington dari Asia.
Menurut Gutierrez, beliau sempat bercakap dengan Trump dalam penerbangan berkenaan.
Minggu ini, Trump menghadiri sidang kemuncak serantau ASEAN di Filipina sebelum mengadakan pertemuan penting dengan Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Russia, Vladimir Putin di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di China.
“Terlalu banyak mesyuarat. Pertemuan itu tidak dapat diadakan,” kata Trump.
Trump pernah mengadakan tiga pertemuan dengan Jong-un ketika penggal pertama beliau sebagai Presiden AS.
Beliau sebelum ini membayangkan kemungkinan mengadakan satu lagi pertemuan dua hala dengan pemimpin Korea Utara itu ketika dalam perjalanan ke Asia minggu ini.
Pertemuan terdahulu antara Trump dan Jong-un bertujuan membendung program nuklear Pyongyang, namun gagal menghasilkan sebarang perjanjian konkrit.
Walaupun berdepan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama bertahun-tahun, Korea Utara terus membangunkan program nuklearnya, malah mengiktiraf status negara nuklear dalam undang-undang serta mengisytiharkan senjata nuklearnya sebagai kekal dan tidak boleh dilucutkan.-AFP
The post Trump dakwa terlalu sibuk, tidak sempat bertemu Kim Jong-un appeared first on Utusan Malaysia.
