
NEW YORK: Presiden, Donald Trump meminta rakyat Amerika Syarikat (AS) bersedia membayar harga petrol yang lebih tinggi ketika perang dengan Iran terus menjejaskan bekalan tenaga global dan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz hampir terhenti.
Trump berkata, rakyat AS perlu menerima kenaikan harga itu sebagai pengorbanan untuk memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.
“Membayar lebih sedikit untuk petrol berbaloi demi memastikan negara yang ‘sangat jahat’ itu tidak memiliki senjata nuklear,” kata Trump dalam satu perhimpunan politik di Garden City, New York semalam.
Kenyataan itu dibuat ketika harga purata petrol di AS sudah meningkat hampir 30 peratus berbanding tahun lalu dengan inflasi dilaporkan terus membebankan rakyat dan berpotensi menjejaskan sokongan pengundi terhadap Trump.
Kenaikan harga bahan api yang berlaku bertentangan dengan janji kempen Trump untuk menurunkan kos tenaga, sekali gus memberi peluang kepada Parti Demokrat untuk menjadikan kesan ekonomi perang Iran sebagai isu dalam pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Dalam pada itu, Trump berkata, beliau akan menjadikan Selat Hormuz sebagai ‘wilayah AS’ dalam masa terdekat, ketika Washington bersiap untuk mengenakan tekanan ekonomi besar-besaran bagi memaksa Iran menamatkan perang.
Pada masa sama, Iran pula menggesa Washington menerima kekalahan dan menegaskan Selat Hormuz hanya akan dibuka mengikut keputusan Teheran, menandakan kebuntuan antara kedua-dua pihak masih belum menunjukkan tanda akan berakhir.
“Selat ini hanya akan dibuka dan ditutup atas arahan Iran dan selagi anda tidak menerima hakikat kekalahan serta terus hidup dalam angan-angan, Iran akan terus menguatkuasakan sekatan,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi dalam hantaran di X awal Sabtu.
Beliau menegaskan Selat Hormuz tidak boleh dirampas hanya melalui hantaran di media sosial, kapal pengangkut pesawat, arahan atau ucapan kempen pilihan raya.
Pengantara Qatar dan Pakistan masih berhubung dengan Iran serta bertukar-tukar mesej, namun tindakan itu belum boleh dianggap sebagai rundingan, menurut agensi berkenaan.
Hanya dua kapal dilaporkan melalui Selat Hormuz pada Jumaat, menurut analisis firma penjejakan kapal Kpler. Kedua-duanya ialah sebuah kapal pengangkut bijirin yang memasuki perairan Iran dan sebuah kapal kargo pukal kosong yang bergerak ke arah bertentangan.
Sebuah lagi kapal tangki kosong yang membawa produk petroleum cecair sedang memasuki Teluk melalui selat itu, namun tiada penghantaran minyak mentah dikesan.
Sebahagian kapal mungkin masih melalui selat berkenaan tanpa dikesan selepas mematikan sistem pengenalan automatik, namun jumlah itu jauh lebih rendah berbanding lebih 130 kapal yang menggunakan laluan tersebut setiap hari sebelum perang.
Kapal yang berani merentasi selat tanpa kebenaran Iran pula berdepan risiko serangan peluru berpandu atau dron. Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan empat kapalnya diserang ketika melalui selat itu sejak Khamis.
The post Trump gesa rakyat AS ‘berkorban’ hadapi kenaikan harga petrol appeared first on Utusan Malaysia.

