Trump guna dana awam RM81.5 juta biaya iklan propaganda politik

WorldPolitics
30 Sep 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Trump guna dana awam RM81.5 juta biaya iklan propaganda politik

WASHINGTON: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS) menyalurkan peruntukan bernilai AS$20 juta (RM81.5 juta) bagi membiayai iklan propaganda kempen pilihan raya yang memuji Presiden, Donald Trump, sekali gus mencetuskan kecaman hebat daripada pemimpin Parti Republikan dan Demokrat.

Tindakan itu disifatkan sebagai salah guna wang pembayar cukai yang ketara dan berkemungkinan besar melanggar undang-undang anti-propaganda persekutuan.

Dalam satu surat yang ditujukan kepada Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Markwayne Mullin, dua senator utama Parti Demokrat mendedahkan dana berkenaan diambil daripada peruntukan bil khas Trump yang sepatutnya disalurkan kepada Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS.

“Kami tidak sepatutnya perlu mengingatkan anda bahawa penggunaan dana kerajaan untuk mencipta atau menyiarkan iklan politik seperti yang telah ditayangkan sejak beberapa hari lalu adalah tidak sah dan merupakan Tindakan menyalah guna wang pembayar cukai yang amat mengejutkan,” tegas Senator, Patty Murray dan Senator, Chris Murphy dalam surat berkenaan.

Kedua-dua senator itu menuntut jawapan rasmi dalam tempoh 48 jam berhubung bagaimana dana persekutuan digunakan untuk menayangkan iklan kempen yang mengagungkan presiden berkenaan.

Mereka turut menggesa penjelasan sama ada jabatan itu merancang untuk menggunakan dana persekutuan tambahan bagi menyiarkan atau membuat iklan baharu, selain meminta perincian maklumat kontrak dikemukakan kepada Kongres.

Bantahan politik berhubung tayangan iklan tersebut yang mula diudarakan seminggu lalu menerusi program televisyen popular termasuk siaran sukan kolej dan Liga Bolasepak Kebangsaan semakin hangat ketika pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Pihak Rumah Putih bagaimanapun mempertahankan tayangan berkenaan yang mencatatkan penafian dana kerajaan, dengan mendakwa ia hanyalah sebuah pesanan khidmat masyarakat (PSA).

Tayangan iklan luar biasa yang menampilkan slogan pilihan raya Parti Republikan dengan selingan paparan imej pentadbiran Trump itu didakwa melanggar undang-undang pendaftaran peruntukan Kongres bagi tujuan propaganda.

Pakar undang-undang turut menilai iklan terbabit berbeza daripada PSA pentadbiran terdahulu kerana ia langsung tidak direka bagi membantu rakyat AS mengakses sebarang program perkhidmatan kerajaan secara khusus. -AGENSI

The post Trump guna dana awam RM81.5 juta biaya iklan propaganda politik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved