
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk menghentikan perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) selepas blok itu mencadangkan Kanada menjadi negara pertama memperoleh status ‘anggota bersekutu EU’.
Ketua EU, Ursula von der Leyen mengemukakan cadangan itu sehari sebelum pemimpin Kanada, Mark Carney dijadual berucap di Parlimen Eropah.
Cadangan itu dibuat ketika Kanada dan EU berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap AS yang semakin tegas di bawah kepimpinan Trump.
“Saya rasa ia melucukan. Jika mereka berbuat demikian, jika saya menganggapnya sebagai tindakan bermusuhan, saya akan mengenakan tarif yang sangat tinggi atau menghentikan perdagangan dengan Eropah bagi banyak barangan.
“Jika niatnya baik, tidak mengapa. Jika niatnya buruk, kami akan mengenakan tarif yang sangat tinggi terhadap Eropah dan itu adalah satu kemungkinan,” kata Trump kepada pemberita ketika ditanya mengenai rancangan berkenaan.
Von der Leyen mencadangkan kerjasama lebih erat dalam bidang teknologi, pertahanan dan tenaga kepada Carney, yang menjadi ketua kerajaan bukan Eropah pertama menghadiri ucapan tahunan State of the European Union.
Pemimpin Jerman itu memberitahu Parlimen Eropah di Strasbourg, ketika demokrasi berdepan keretakan dalam sistem antarabangsa berasaskan peraturan, Brussels dan Ottawa perlu memperkukuh hubungan.
“Saya mahu bekerjasama dengan anda untuk membuka ruang kepada Kanada menjadi anggota bersekutu pertama EU,” kata von der Leyen kepada Carney yang disambut tepukan gemuruh daripada anggota Parlimen Eropah.
Von der Leyen berkata, sudah tiba masanya untuk beralih daripada kerjasama berasaskan perdagangan kepada ‘pakatan untuk masa depan’ yang lebih luas serta membawa hubungan dengan Kanada ke tahap lebih tinggi.
“Kami akan bekerjasama dalam bidang pembuatan pintar. Kami akan mewujudkan pakatan teknologi. Kami akan mengintegrasikan pangkalan industri pertahanan, kami akan menjadikan Artik sebagai projek bersama utama,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan tenaga, mineral kritikal, bateri, kecerdasan buatan (AI), siber dan keselamatan ekonomi sebagai bidang kerjasama lain.
“Ini adalah perkongsian bukan untuk menentang sesiapa, tetapi demi kekuatan bersama kita,” katanya.
Masih belum jelas bagaimana cadangan itu akan dilaksanakan kerana perjanjian EU tidak memperuntukkan kemungkinan kewujudan anggota bersekutu.
Idea mewujudkan status yang berada di bawah keahlian penuh itu pertama kali dikemukakan Canselor Jerman, Friedrich Merz tahun ini untuk Ukraine.-AFP
The post Trump kecam rancangan keahlian bersekutu Kanada dalam EU, ancam tarif baharu appeared first on Utusan Malaysia.

