Trump Kecewa NATO Enggan Sokong AS Di Selat Hormuz

WorldPolitics
28 Mar 2026 • 9:41 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

MIAMI — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meluahkan kekecewaan terhadap sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara yang didakwa enggan memberikan sokongan ketenteraan susulan ketegangan di Selat Hormuz.

Menurut Trump, tindakan sekutu itu menimbulkan persoalan terhadap komitmen bersama dalam pakatan tersebut, malah memberi bayangan Amerika Syarikat mungkin tidak lagi akan memberikan bantuan seperti sebelum ini.

‘Mengapa AS Perlu Terus Membantu?’

“Kita membelanjakan ratusan bilion dolar setiap tahun untuk NATO, melindungi mereka dan sentiasa ada untuk mereka. Tetapi berdasarkan situasi sekarang, saya rasa kita tidak semestinya perlu berbuat demikian.

“Mengapa kita perlu ada untuk mereka jika mereka tidak ada untuk kita? NATO tidak bersama kita,” katanya ketika berucap dalam satu acara di Miami, lapor AFP.

Kenyataan itu dibuat susulan kegagalan NATO memenuhi permintaan Washington untuk menghantar kapal perang bagi membantu membuka laluan di Selat Hormuz, yang kini dilaporkan disekat oleh Iran.

Perkembangan tersebut dilihat berpotensi meningkatkan lagi ketegangan geopolitik di rantau Asia Barat, khususnya melibatkan laluan perdagangan minyak global yang kritikal.

Konflik Iran Semakin Memuncak

Untuk rekod, konflik melibatkan Iran kini memasuki minggu keempat sejak tercetusnya serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Israel pada akhir Februari lalu, yang mencetuskan tindak balas ketenteraan dari Tehran.

Sebagai tindak balas, Iran bertindak menyekat laluan di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia, sekali gus memberi kesan besar kepada bekalan tenaga global.

Situasi itu turut menyaksikan peningkatan ketegangan ketenteraan, termasuk serangan peluru berpandu, gangguan terhadap kapal dagang serta operasi ketenteraan berterusan oleh Amerika Syarikat bagi membuka semula laluan berkenaan.

Sehingga kini, konflik tersebut masih belum menunjukkan tanda-tanda reda, dengan rundingan damai masih menemui jalan buntu dan risiko gangguan ekonomi global terus meningkat. – The Malaysian Update

The post Trump Kecewa NATO Enggan Sokong AS Di Selat Hormuz appeared first on The Malaysian Update.