
Trump Kenakan Tarif 50% Ke Atas Negara Yang Bekalkan Senjata Ketenteraan Kepada Iran
Negara yang membekalkan senjata ketenteraan kepada Iran akan dikenakan tarif barangan sebanyak 50 peratus oleh Amerika Syarikat (AS).
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden AS, Donald Trump menerusi satu kiriman di laman Truth Social miliknya.
"Negara yang membekalkan senjata ketenteraan kepada Iran akan dikenakan tarif serta-merta, ke atas mana-mana dan semua barangan yang dijual kepada Amerika Syarikat, sebanyak 50 peratus, berkuat kuasa serta-merta. Tiada pengecualian atau kelonggaran," katanya.
Pengumuman itu dilakukan selepas Trump berkata AS akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Iran susulan perjanjian gencatan senjata yang diumumkan pada Selasa.
Ini 10 Perkara Dikemukakan Iran Kepada AS Untuk Tamatkan Perang
Amerika Syarikat, Iran Setuju Gencatan Senjata Saat-Saat Akhir
Trump berkata dalam satu lagi hantaran di Truth Social bahawa tiada pengayaan uranium akan berlaku dan banyak daripada 15 perkara dalam cadangan damai AS telah pun dipersetujui.
AS dan Iran juga akan membincangkan mengenai tarif serta pelonggaran sekatan, tambah Trump.
Sebahagian besar tarif 'timbal balik' Trump yang dikenakan tahun lalu telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung pada Februari, lapor CNBC.

Bagaimanapun, Rumah Putih telah menyusun semula pelaksanaan tarifnya melalui penggunaan mekanisme dalam undang-undang perdagangan sedia ada seperti siasatan di bawah Seksyen 301.
Logam merupakan antara elemen utama dalam pelaksanaan tarif sedia ada, yang ketika ini mengenakan levi 50 peratus ke atas produk yang diperbuat sepenuhnya atau hampir sepenuhnya daripada keluli, aluminium atau tembaga.
Terdapat juga tarif 25 peratus ke atas produk terbitan yang sebahagian besarnya diperbuat daripada logam tersebut.
Mulai akhir Julai 2026, syarikat besar akan berdepan tarif 100 peratus ke atas produk farmaseutikal berpaten serta bahan ramuannya. Syarikat farmaseutikal kecil pula akan dikenakan kadar tarif baharu tersebut bermula akhir September.
