
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencetuskan kontroversi baharu selepas berkongsi satu video di akaun media sosial miliknya yang memaparkan bekas presiden, Barack Obama, serta isterinya, Michelle Obama, digambarkan sebagai monyet.
Hantaran itu mencetuskan kemarahan meluas merentasi spektrum politik Amerika Syarikat apabila ramai menyifatkannya sebagai berunsur perkauman dan tidak bermoral.
Video berdurasi kira-kira satu minit yang dimuat naik di platform Truth Social tersebut memaparkan teori konspirasi berkaitan kekalahan Trump dalam pilihan raya 2020 kepada Joe Biden.
Pada penghujung klip, wajah pasangan Obama disunting pada badan seekor monyet selama kira-kira satu saat.
White House pada awalnya pertahan, kemudian mengaku silap
Pihak White House pada mulanya menepis kritikan dengan menyifatkan kemarahan orang ramai sebagai ‘kemarahan palsu’.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, berkata imej tersebut hanyalah sebahagian daripada meme internet yang menggambarkan Trump sebagai ‘raja rimba’, manakala pemimpin Demokrat sebagai watak filem animasi.
“Sila hentikan kemarahan palsu dan laporkan sesuatu yang benar-benar penting kepada rakyat Amerika,” katanya dalam kenyataan kepada Agence France-Presse (AFP).
Namun hampir 12 jam selepas hantaran itu tular, pentadbiran Trump membuat pengakuan luar biasa dengan menyatakan ia berpunca daripada kesilapan kakitangan.
Seorang pegawai White House memaklumkan hantaran tersebut telah dipadam.
“Seorang kakitangan White House tersilap membuat hantaran itu. Ia telah dipadamkan,” katanya.
Dikecam Demokrat dan Republikan
Pemimpin Parti Demokrat mengecam tindakan Trump sebagai ‘keji’ dan tidak berperikemanusiaan, manakala seorang senator kanan Parti Republikan turut mengakui video itu jelas bersifat perkauman.
Setakat ini, pasangan Obama masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. – The Malaysian Update
The post Trump Kongsi Video Hina Obama, White House Dakwa Kesilapan Kakitangan appeared first on The Malaysian Update.
