
WASHINGTON — Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan kontroversi apabila menyatakan hasrat untuk “mengambil minyak Iran”, termasuk kemungkinan menawan Pulau Kharg yang merupakan hab utama eksport minyak negara itu.
Dalam temu bual bersama Financial Times, Trump secara terbuka membandingkan pendekatan tersebut dengan strategi AS di Venezuela, di mana Washington didakwa mahu menguasai industri minyak negara itu untuk tempoh tidak ditentukan.
“Sejujurnya, perkara kegemaran saya ialah mengambil minyak Iran… tetapi ada orang di AS yang mempersoalkan tindakan itu. Mereka ini orang bodoh,” katanya.
Menurut beliau, Pulau Kharg menjadi antara pilihan strategik yang sedang dipertimbangkan.
“Mungkin kita ambil Pulau Kharg, mungkin tidak. Kita ada banyak pilihan,” katanya lagi.
Trump turut mendakwa pulau berkenaan mudah ditawan dan tidak mempunyai pertahanan kukuh, selain mengakui sebarang operasi itu memerlukan kehadiran tentera AS untuk tempoh tertentu.
Pulau Kharg merupakan nadi eksport minyak Iran, mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak negara itu ke pasaran global.
Memetik laporan Astro Awani, kenyataan Trump itu dilihat sebagai antara retorik paling agresif melibatkan kepentingan tenaga Iran dalam tempoh terdekat.
Ketegangan Serantau Memuncak
Kenyataan tersebut dijangka meningkatkan lagi ketegangan di Asia Barat, ketika konflik melibatkan AS, Israel dan Iran terus memuncak.
Penganalisis memberi amaran bahawa sebarang cubaan menawan Pulau Kharg berisiko mencetuskan tindak balas ketenteraan besar-besaran daripada Iran, termasuk serangan peluru berpandu dan dron ke atas kepentingan AS di rantau itu.
Dalam masa sama, kenyataan Trump turut memberi kesan kepada pasaran global apabila harga minyak melonjak susulan kebimbangan gangguan bekalan tenaga.
Setakat ini, pihak Tehran belum mengeluarkan sebarang reaksi rasmi terhadap kenyataan terbaru tersebut. – The Malaysian Update
The post Trump Mahu ‘Ambil Minyak Iran’, Bayang Rampas Pulau Kharg appeared first on The Malaysian Update.
