
WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat membenarkan pembinaan sebuah dewan tarian besar-besaran di Rumah Putih diteruskan buat sementara waktu, sekali gus memberikan kemenangan sementara kepada Presiden Donald Trump bagi salah satu projek pengubahsuaian yang menjadi keutamaannya.
Ketua Hakim, John Roberts menggantung sementara keputusan mahkamah rendah yang mengarahkan pembinaan dewan tarian kontroversi itu dihentikan selewat-lewatnya tengah malam Jumaat.
Perintah Roberts yang hanya mengandungi satu ayat itu bermakna kerja-kerja pembinaan dewan tersebut, yang dicabar oleh kumpulan pemeliharaan sejarah, boleh diteruskan sementara prosiding undang-undang berjalan di mahkamah rendah.
Trump dalam hantaran di Truth Social berkata, beliau berterima kasih atas keputusan Mahkamah Agung itu.
“Kompleks Ketenteraan/Dewan Tarian yang sedang dibina di kawasan bersejarah Rumah Putih, yang amat penting bagi Keselamatan Negara, akan menjadi yang terhebat seumpamanya. Pembinaan mengikut bajet dan mendahului jadual,” tulisnya.
Pentadbiran Trump minggu lalu meminta Mahkamah Agung yang dikuasai hakim konservatif itu membenarkan mereka menyiapkan pembinaan dewan tarian dan sebuah kubu bawah tanah di Rumah Putih, dengan alasan projek itu penting untuk keselamatan negara.
Trump mengarahkan keseluruhan Sayap Timur Rumah Putih di Washington DC yang bersejarah dirobohkan tahun lalu tanpa mendapatkan persetujuan Kongres AS bagi memberi laluan kepada dewan tarian yang telah lama diinginkannya.
Namun, projek itu segera dicabar di mahkamah.
Sebuah mahkamah daerah mengarahkan pembinaan dewan tarian di atas tanah dihentikan, tetapi membenarkan pembinaan kubu ketenteraan bawah tanah diteruskan.
Bagaimanapun, perintah itu digantung sementara rayuan dikemukakan.
Mahkamah rayuan baru-baru ini mengekalkan keputusan mahkamah rendah tersebut, bersetuju bahawa pengubahsuaian Rumah Putih secara besar-besaran seperti itu memerlukan persetujuan jelas daripada Kongres.
Namun, mahkamah memberikan pentadbiran Trump masa untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Agung. – AFP
The post Trump menang kes selepas dicabar appeared first on Utusan Malaysia.

