
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menafikan sebarang rundingan sedang berlangsung atau dijadualkan dengan Iran, ketika Teheran mendakwa Washington kini ‘merayu’ untuk berbincang selepas gagal memaksa negara itu menyerah kalah.
Trump berkata, tiada perbualan dengan Iran sedang berlangsung, sambil menegaskan sekatan laut AS terhadap Iran kekal berkuat kuasa.
Beliau turut memuat naik peta yang menunjukkan Selat Hormuz sebagai ‘wilayah baharu AS’ dalam sindiran terbaharu kepada Teheran dan mendakwa laluan perairan itu kini terbuka selepas semua periuk api laut dikeluarkan atau dimusnahkan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi bagaimanapun mendakwa AS kini merayu untuk berunding berdasarkan syarat Iran selepas gagal memaksa Teheran tunduk kepada tuntutannya.
Lapor Al Jazeera, perkembangan itu berlaku ketika masa depan Selat Hormuz menjadi antara isu utama dalam usaha meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata, pengantara antarabangsa sedang menunggu perjanjian transit yang dijangka dicapai antara Iran dan Oman berhubung Selat Hormuz sebelum menggesa Washington dan Teheran menyambung semula rundingan damai.
Beliau berkata, perjanjian itu dijangka menjadi langkah penting bagi mewujudkan keadaan yang lebih sesuai untuk menyambung semula rundingan antara kedua-dua pihak.
Sementara itu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata Selat Hormuz akan kekal ditutup sehingga AS memenuhi syarat yang dipersetujui dalam perjanjian sementara antara kedua-dua negara.
Antara syarat berkenaan termasuk penarikan balik sekatan laut dan sekatan ekonomi serta pembebasan aset Iran yang dibekukan.
Ghalibaf menegaskan pendirian Teheran bahawa Selat Hormuz tidak akan dibuka selagi AS belum memenuhi tuntutan berkenaan.
The post Trump nafi rundingan dengan Iran, Teheran dakwa AS sedang ‘merayu’ appeared first on Utusan Malaysia.



