
Trump Pecat Ketua Turus Tentera Darat AS
WASHINGTON -- Pentadbiran Trump telah memecat Ketua Turus Tentera Darat, Jeneral Randy George dan dua lagi tokoh kanan dalam satu rombakan mengejut ketika pasukan tentera AS sedang terperangkap dalam perang besar menentang Iran, lapor AFP.
Pemecatan George oleh Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth merupakan yang terbaharu dalam siri peletakan jawatan berprofil tinggi daripada pihak tentera sejak Presiden Donald Trump kembali berkuasa setahun lalu.
Bagaimanapun, tiada penjelasan awam diberikan berhubung pemecatan George seorang veteran yang menerima pelbagai anugerah ketika mengetuai tentera darat.
Pemecatan itu berlaku ketika Amerika Syarikat kini memasuki lebih sebulan kempen pengeboman hebat terhadap Iran, yang menurut Trump akan berterusan selama beberapa minggu lagi.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell memuat naik kenyataan di platform X lewat Khamis bahawa George "akan bersara daripada jawatannya... berkuat kuasa serta-merta."
Sepanjang empat dekad pekhidmatan, George pernah bertugas di Iraq dan Afghanistan sebanyak beberapa kali, serta memegang jawatan termasuk Naib Ketua Turus Tentera Darat dan pembantu ketenteraan kanan kepada Setiausaha Pertahanan ketika itu, Lloyd Austin, semasa penggal Joe Biden sebagai presiden.
Difahamkan, Naib Ketua Turus Tentera Darat, Jeneral Christopher LaNeve akan mengambil alih tugas sebagai pemangku ketua turus, lapor CBS.
