Trump percaya CEO Nvidia tidak tahu kekasih gelap pengintip China

WorldPolitics
10 Nov 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Trump percaya CEO Nvidia tidak tahu kekasih gelap pengintip China

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meluahkan rasa simpati terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang dengan menyatakan tokoh korporat terbabit kini amat menderita dan langsung tidak mengetahui wanita yang menjadi kekasih gelapnya didakwa sebagai pengintip China.

Menerusi kenyataan di Rumah Putih pada Isnin, Trump bagaimanapun mengelak daripada memberikan jawapan khusus berhubung tarikh sebenar beliau mula dimaklumkan oleh pihak risikan mengenai kaitan antara Huang dan wanita berkenaan.

Pemimpin AS itu mendedahkan beliau telah berhubung terus melalui telefon dengan Huang awal Isnin untuk bertanya khabar, sambil menyifatkan usahawan kelahiran Taiwan itu sebagai seorang individu yang hebat.

“Saya bertanyakan soalan itu kepadanya, adakah anda tahu dia seorang pengintip?. Beliau menjawab, ‘saya langsung tidak tahu dia pengintip,’ dan saya benar-benar mempercayainya,” kata Trump kepada wartawan.

Trump turut berkata, beliau berharap isu berkenaan tidak berpanjangan, selain menyatakan kebimbangan terhadap tekanan emosi yang dialami Huang berikutan kejadian itu.

“Saya percaya beliau amat menderita terutamanya membabitkan keluarga dan isteri yang dicintainya. Beliau sememangnya berada dalam keadaan yang amat tertekan,” tambah Trump lagi.

Kenyataan Trump itu menyusul selepas Huang menghantar memo dalaman kepada warga kerja Nvidia pada Ahad bagi mengakui kecurangan dalam rumah tangganya serta memohon maaf secara terbuka kepada keluarga dan seluruh kakitangan syarikat.

Mengulas pembabitan Huang dalam lawatan rasmi ke China pada Mei lalu, Trump menegaskan beliau tidak menerima sebarang maklumat risikan berhubung kes pengintipan terbabit sewaktu delegasi itu berlangsung.

“Tidak, saya tidak mendengarnya pada waktu itu. Namun ramai pihak lain yang telah mula mendengarnya,” kata Trump yang menyifatkan Huang sebagai tokoh penting dalam revolusi kecerdasan buatan (AI) serta rakan rapat pentadbirannya.

Huang sebelum ini kerap menghadiri pelbagai acara rasmi di Rumah Putih, termasuk majlis sambutan jemputan negeri membabitkan Presiden China, Xi Jinping, pada September lalu.

Meskipun enggan memperincikan tarikh sebenar beliau menerima taklimat berhubung isu berkenaan, Trump mengesahkan pihak berkuasa persekutuan kini sedang meneliti kes terbabit dan yakin Huang berada dalam keadaan selamat.

“Kita akan menelitinya, saya tahu FBI sedang menjalankan siasatan berhubung perkara lain, dan saya yakin beliau berada dalam keadaan baik,” jelas Trump. -AFP

The post Trump percaya CEO Nvidia tidak tahu kekasih gelap pengintip China appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved