Trump ‘Petik’ Pearl Harbor Dalam Pertemuan Dengan Takaichi, Isu Iran Jadi Tumpuan

WorldPolitics
20 Mar 2026 • 11:48 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

WASHINGTON — Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, berusaha menegaskan semula hubungan sekutunya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis, selepas Trump sebelum ini dilihat mempersoalkan pendirian Jepun yang tidak menyertai usaha melindungi Selat Hormuz.

Dalam pertemuan di White House, Takaichi memaklumkan bahawa Jepun menentang pembangunan program nuklear Iran, selain cuba merayu imej Trump sebagai pendamai dunia.

“Walaupun dalam situasi ini, saya percaya hanya anda, Donald, mampu membawa keamanan kepada dunia,” katanya menerusi jurubahasa.

Kedua-dua pemimpin dilihat saling memuji, dengan Trump menyifatkan Takaichi sebagai “wanita popular dan berkuasa”. Namun, suasana menjadi sedikit tegang apabila mereka diasak soalan media berhubung sokongan Jepun terhadap tindakan ketenteraan AS ke atas Iran.

Kenyataan Pearl Harbor Cetus Ketegangan

Memetik laporan KVUE, dalam sesi bersama media selama kira-kira 30 minit itu, Takaichi dilihat beberapa kali memeriksa jam tangannya. Ketegangan semakin ketara apabila Trump membuat kenyataan yang dianggap kurang selesa dengan merujuk serangan Jepun ke atas Pearl Harbor pada 1941.

“Kami tidak maklumkan sesiapa kerana mahukan kejutan. Siapa lebih tahu tentang kejutan selain Jepun? Kenapa kamu tidak beritahu saya tentang Pearl Harbor?” katanya secara berseloroh.

Reaksi Takaichi dilihat berubah apabila senyumannya hilang dan beliau mengangkat kening.

Trump turut memaklumkan bahawa perbincangan tertutup mereka akan menyentuh tahap sokongan Jepun terhadap AS dalam konflik Iran, sambil menyatakan Jepun kini “semakin memainkan peranan”.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bentuk sokongan tersebut.

Menurut Trump, sebahagian besar bekalan minyak Jepun melalui Selat Hormuz, menjadikan faktor itu sebagai sebab utama Jepun perlu meningkatkan penglibatan.

“Saya jangka Jepun akan tampil membantu kerana hubungan kita memang begitu,” katanya lagi. – The Malaysian Update

The post Trump ‘Petik’ Pearl Harbor Dalam Pertemuan Dengan Takaichi, Isu Iran Jadi Tumpuan appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article