
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, didakwa meninggalkan Turkiye secara rahsia menaiki pesawat tentera bulan lalu susulan dakwaan ancaman pembunuhan oleh Iran terhadapnya, walaupun Rumah Putih pada ketika itu memaklumkan beliau menaiki pesawat Air Force One.
Laporan media AS pada Isnin yang memetik seorang pegawai AS dan beberapa sumber mengetahui operasi berkenaan berkata, Trump dipindahkan secara senyap ke pesawat tentera yang lebih kecil bagi menyembunyikan lokasi sebenarnya.
Menurut The Washington Post, Trump pada awalnya menaiki pesawat jumbo Air Force One yang lebih lama di Ankara dan disaksikan kamera televisyen.
Beberapa minit kemudian, beliau dipindahkan ke pesawat tentera AS C-32A yang lebih kecil menggunakan sebuah trak katering lapangan terbang.
Menurut laporan itu, operasi berkenaan bertujuan menyembunyikan lokasi Trump daripada orang awam, wartawan dan sebahagian kakitangan Rumah Putih.
Tindakan itu dilakukan pada malam selepas tentera AS menyambung semula serangan ke atas Iran susulan kegagalan rundingan antara Washington dan Teheran.
Trump berada di Ankara pada 7 dan 8 Julai bagi menghadiri sidang kemuncak NATO bersama pemimpin dunia ketika ancaman pembunuhan itu dilaporkan muncul.
Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Steven Cheung, mempertahankan langkah keselamatan itu dengan berkata pesawat yang dihadiahkan Qatar dan kini digunakan sebagai Air Force One itu dilengkapi protokol keselamatan berperingkat tinggi bagi memastikan keselamatan presiden.
“Seperti yang dinyatakan presiden baru-baru ini, terdapat ramai musuh Amerika yang menyasarkan beliau, dan kami menggunakan setiap cara yang ada untuk menangani ancaman berkenaan,” katanya.- ANADOLU
The post Trump pindah pesawat secara rahsia elak ancaman Iran appeared first on Utusan Malaysia.

