Trump rancang guna ‘ibu segala bom’ serang Iran

WorldPolitics
15 Oct 2026 • 6:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Trump rancang guna ‘ibu segala bom’ serang Iran

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) merangka pelan serangan baharu yang merangkumi kemungkinan penggunaan ‘ibu segala bom’ terhadap infrastruktur tenaga dan tapak nuklear Iran sekiranya Presiden, Donald Trump mengarahkan operasi ketenteraan disambung semula.

Menurut laporan memetik beberapa pegawai AS yang mengetahui perancangan itu, penggunaan MOAB, bom bukan nuklear terbesar dalam senjata AS, berpotensi meningkatkan ketegangan konflik dengan Iran, meskipun beberapa pegawai mempersoalkan keberkesanan senjata itu dalam mencapai matlamat ketenteraan Washington.

Menurut CNN, Trump mengarahkan pihak tentera menyediakan pilihan serangan tambahan terhadap sasaran di Iran, termasuk infrastruktur tenaga dan kemudahan yang dikaitkan dengan program nuklear negara itu.

Pelan berkenaan boleh dilaksanakan sebelum atau selepas pilihan raya pertengahan penggal AS yang akan datang, sekiranya beliau memutuskan untuk menyambung semula operasi ketenteraan berskala besar.

Satu sumber yang mengetahui perancangan ketenteraan itu memberitahu CNN serangan berkenaan mungkin dilancarkan sebelum pengunduran tentera AS dari kawasan tanggungjawab Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM).

Langkah itu berpotensi membolehkan pentadbiran Trump melancarkan serangan tambahan sebelum mengisytiharkan kemenangan dan mengundurkan tenteranya.

Sumber kedua berkata, pelan serangan terhadap tapak nuklear Iran, termasuk kemudahan bawah tanah yang disyaki terletak di Gunung Pickaxe, secara jelas turut mempertimbangkan penggunaan bom MOAB.

Trump berulang kali mengancam untuk menyasarkan Gunung Pickaxe yang menurut Washington dan Israel dipercayai menjadi lokasi penyimpanan komponen program nuklear Iran.

Presiden AS itu menegaskan usaha menghalang Teheran daripada memperoleh senjata nuklear kekal sebagai matlamat utama kempen ketenteraan Washington.

Bom berpandukan sistem GPS itu mampu memusnahkan kawasan permukaan seluas kira-kira sembilan blok bandar, tetapi tidak direka untuk menembusi jauh ke dalam tanah.

Sumber yang dipetik CNN berkata, bom itu berkemungkinan sukar memusnahkan kemudahan yang dilindungi lapisan granit tebal dan struktur pertahanan lain.

“MOAB ialah senjata yang lebih sesuai untuk menghasilkan kesan besar dari segi persepsi dan memusnahkan kawasan yang luas, tetapi tidak banyak kegunaan lain,” kata satu sumber yang mengetahui perbincangan perancangan ketenteraan itu.

Jika digunakan, bom itu boleh menyebabkan kemusnahan besar di kawasan hentaman, manakala radius letupannya yang luas menimbulkan kebimbangan serius mengenai risiko korban awam, khususnya jika serangan menyasarkan infrastruktur tenaga berhampiran kawasan berpenduduk atau kemudahan awam lain.

Walaupun mempunyai keterbatasan itu, pegawai AS dilaporkan turut mempertimbangkan kesan psikologi penggunaan senjata berkenaan sebagai sebahagian daripada pilihan ketenteraan pentadbiran Trump.

Satu sumber memberitahu CNN berkata, Trump mungkin berdepan tekanan untuk mengambil tindakan lanjut terhadap Iran, meskipun masih terdapat ketidakpastian sama ada serangan tambahan akan memaksa Teheran menerima tuntutan Washington.

Sumber itu berkata, MOAB berpotensi digunakan untuk memberikan tekanan psikologi kepada Iran, khususnya berikutan keterbatasan senjata sedia ada untuk memusnahkan sasaran yang terletak jauh di bawah tanah.

The post Trump rancang guna ‘ibu segala bom’ serang Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved