Trump rancang kenakan bayaran AS$100,000 untuk visa pekerja H-1B

WorldPolitics
20 Sep 2025 • 9:39 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang mengenakan bayaran AS$100,000 (RM472,000) untuk permohonan baharu visa pekerja H-1B.

Langkah itu dijangka memberi kesan kepada sektor teknologi yang banyak bergantung kepada pekerja mahir luar termasuk dari India dan China, lapor Reuters.

"Presiden Republikan itu dijangka menandatangani pengisytiharan seawal Jumaat untuk menyekat kemasukan di bawah program visa H-1B, melainkan jika yuran permohonan itu dibayar," kata pegawai Rumah Putih sambil menambah ia sebahagian daripada tindakan tegas imigresen yang diperluas.

Program H-1B menjadi isu utama antara penyokong konservatif Trump dan industri teknologi yang menyumbang jutaan dollar kepada kempen Presidennya.

Pengkritik program itu, termasuk ramai pekerja teknologi AS, berpendapat visa membenarkan syarikat untuk menekan gaji dan mengetepikan rakyat Amerika yang mampu melakukan pekerjaan terbabit.

Penyokong, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, berkata ia membawa masuk pekerja berkemahiran tinggi yang penting untuk mengisi jurang bakat dan memastikan syarikat kekal berdaya saing.

"Menambah yuran baharu hanya akan menyukarkan usaha menarik bakat paling pintar di dunia ke AS," kata Deedy Das, rakan kongsi di firma modal teroka Menlo Ventures, di platform X.

"Jika AS berhenti menarik bakat terbaik, ia secara drastik mengurangkan keupayaannya untuk berinovasi dan mengembangkan ekonomi," katanya.

Kadar bayaran itu boleh meningkatkan kos dengan ketara untuk syarikat. Walaupun yuran baharu itu mungkin tidak menghalang syarikat teknologi gergasi, yang sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan bakat terbaik, ia boleh menekan firma teknologi yang lebih kecil dan syarikat pemula.

Menurut angka kerajaan, kira-kira dua pertiga daripada pekerjaan yang diperolehi melalui program itu adalah berkaitan komputer, tetapi majikan juga menggunakan visa itu untuk membawa masuk jurutera, pendidik dan pekerja penjagaan kesihatan.

Menurut data kerajaan, India adalah penerima visa H-1B terbesar tahun lalu, menyumbang 71% daripada penerima yang diluluskan, manakala China berada di tempat kedua dengan 11.7%.

Pada separuh pertama 2025, Amazon.com mendapat lebih daripada 10,000 kelulusan visa H-1B, manakala Microsoft dan Meta Platforms masing-masing mendapat lebih daripada 5,000 kelulusan visa H-1B.

Saham Cognizant Technology Solutions Corp, sebuah syarikat perkhidmatan IT yang banyak bergantung kepada pemegang visa H-1B, serta saham Infosys dan Wipro yang disenaraikan di AS, masing-masing jatuh lebih daripada 2%.

Microsoft, syarikat lain, kedutaan India di Washington, dan Konsulat Jeneral China di New York belum memberi sebarang maklum balas.

Sejak memegang jawatan pada Januari, Trump telah memulakan tindakan keras imigresen yang meluas, termasuk langkah-langkah untuk mengehadkan beberapa bentuk imigresen sah.

Program H-1B menawarkan 65,000 visa setiap tahun kepada majikan yang membawa masuk pekerja asing sementara dalam bidang khusus, dengan tambahan 20,000 visa untuk pekerja dengan ijazah lanjutan.

Di bawah sistem semasa, pemohon H-1B membayar yuran kecil untuk menyertai loteri dan, jika dipilih, yuran berikutnya yang boleh mencecah beberapa ribu dolar bergantung kepada kes.

Hampir semua yuran visa perlu dibayar oleh majikan. Visa H-1B diluluskan untuk tempoh tiga hingga enam tahun.

Pengarah Dasar Majlis Imigresen Amerika, Aaron Reichlin-Melnick, mempersoalkan kesahihan yuran baharu yang dicadangkan.

"Kongres hanya membenarkan kerajaan untuk menetapkan yuran bagi menampung kos pertimbangan permohonan," katanya di Bluesky.

Bulan lalu, AS melancarkan program perintis yang membenarkan pegawai konsular menuntut bon sehingga AS$15,000 (RM63,000) untuk visa pelancong dan perniagaan dari negara-negara dengan kadar tinggal lebih masa yang tinggi atau data pemeriksaan terhad, kata notis Daftar Persekutuan.

Langkah itu susulan larangan perjalanan Trump pada Jun yang menyekat kemasukan dari 19 negara, sebahagian daripada tindakan keras imigresen yang lebih luas yang telah menghalang beberapa pelancong dan menurunkan tambang penerbangan transatlantik.

Pentadbiran Trump pada penggal pertamanya mengeluarkan beberapa peraturan yang bertujuan mengehadkan akses kepada visa dan memberikannya kepada majikan yang membayar gaji lebih tinggi, tetapi peraturan itu disekat di mahkamah persekutuan. - 20 September, 2025