KEPUTUSAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersama sekutunya Israel untuk melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran pada akhir Februari lalu dilihat sebagai satu percaturan strategik yang silap.
Berdasarkan perkembangan semasa, bukti lapangan dan pandangan pakar, operasi ketenteraan tersebut bukan sahaja gagal mencapai objektif awal, malah mencetuskan kesan balas yang lebih luas terhadap keselamatan serantau dan ekonomi global.
Sejak permulaan konflik, matlamat Washington dilihat tidak konsisten berhubung serangan ketenteraan ini.
Pentadbiran Trump memberikan pelbagai justifikasi - daripada menggagalkan program nuklear Iran hingga kepada perubahan rejim - namun ketiadaan objektif yang jelas menimbulkan persoalan terhadap perancangan strategik keseluruhan.
Lebih membimbangkan, agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IAEA) dilaporkan tidak menemui bukti kukuh bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear secara aktif ketika serangan dilancarkan.
Ini menguatkan hujah bahawa tindakan ketenteraan tersebut mungkin berasaskan andaian yang lemah.
Dari sudut ketenteraan, Iran tidak menunjukkan tanda akan tunduk atau menyerah walaupun menerima serangan besar-besaran oleh AS dan Israel.
Sebaliknya, Teheran bertindak balas dengan menutup Selat Hormuz - laluan strategik yang mengendalikan sebahagian besar bekalan minyak dunia - sekali gus mencetuskan lonjakan harga tenaga global.
Malah, penganalisis geopolitik dunia menyatakan konflik kini 'tergelincir di luar kawalan' Trump, apabila perang berlarutan, pasukan tentera ditambah dan harga tenaga terus meningkat.
Kritikan paling tajam datang daripada tokoh keselamatan sendiri. Bekas Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), Leon Panetta secara terbuka menyalahkan Trump atas krisis ini, menyifatkan pendekatannya sebagai naif dan tidak mempunyai perancangan jangka panjang.
Beliau menegaskan Trump gagal menjangka reaksi Iran, termasuk penutupan Selat Hormuz dan serangan balas ke atas kepentingan AS serta sekutunya. Ini menunjukkan kegagalan dalam penilaian risiko - elemen asas dalam mana-mana strategi ketenteraan.
Tambahan pula, laporan menunjukkan Trump sebenarnya telah diberi amaran awal oleh risikan mengenai kemungkinan tindak balas Iran terhadap sekutu di negara Teluk, namun tetap meneruskan operasi.
Keputusan mengabaikan maklumat risikan ini memperkukuh naratif bahawa kesilapan bukan sekadar taktikal, tetapi juga berpunca daripada kegagalan kepimpinan dalam membuat keputusan berasaskan data.
Dari perspektif ekonomi global, kesan konflik ini amat signifikan. Pakar memberi amaran bahawa perang berpanjangan boleh mencetuskan inflasi, ketidakstabilan pasaran dan kemelesetan global.
Iran pula menggunakan strategi escalate to de-escalate dengan menyerang infrastruktur tenaga serantau bagi menekan AS, sekali gus memperluas konflik ke luar medan perang tradisional.
Dari segi kos dan kemusnahan, skala kerugian konflik ini jauh lebih besar daripada jangkaan awal Washington. Dalam tempoh hanya 100 jam pertama, operasi ketenteraan AS dianggarkan menelan belanja sekitar AS$3.7 bilion (RM14.5 bilion), manakala kos harian dilaporkan mencecah antara AS$800 juta hingga AS$2 bilion (RM3.1 bilion-RM7.8 bilion) sehari bergantung kepada intensiti operasi.
Kesimpulannya, semakin banyak indikator menunjukkan bahawa serangan ke atas Iran adalah satu kesilapan strategik oleh Trump.
Kegagalan menetapkan objektif jelas, meremehkan keupayaan musuh, mengabaikan risikan serta tidak menjangka implikasi ekonomi global telah meletakkan AS dalam konflik yang sukar dimenangi.
Dalam konteks ini, analisis pakar cenderung menyimpulkan bahawa tindakan tersebut bukan sahaja tidak mencapai matlamat, malah memperburuk keadaan geopolitik dunia.
*Muhammad Shamsul Abd Ghani ialah wartawan Sinar Harian
