
Konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran belum selesai, manakala ketegangan di Ukraine dan Gaza berterusan.
Presiden AS, Donald Trump kembali memegang jawatan tahun lalu dengan berikrar untuk menjadi seorang ‘pendamai’, namun popularitinya kekal terendah, dengan sokongan dalam kalangan pengundi Hispanik merosok menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November ini.
Tinjauan pendapat oleh firma penyelidikan Ipsos bersama agensi berita Reuters mendapati hanya 32 responden berpuas hati dengan prestasi Trump sebagai Presiden, kekal pada paras sama seperti September ketika tahap sokongan terhadapnya mencatat rekod tercorot.
Pengundi Hispanik antara kelompok yang menyumbang kepada kemenangan Trump dalam Pilihan Raya Presiden 2024, dengan hampir separuh daripada mereka memberi sokongan kepada calon Parti Repulikan itu berbanding kira-kira satu pertiga daripada pilihan raya 2020.
Namun, sokongan terhadap Trump semakin merudum dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini ketika rakyat AS berdepan inflasi susulan keputusannya melancarkan perang ke atas Iran.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan berkata, konflik Iran yang berlarutan selama tujuh bulan menjadi beban kepada Trump apabila kos perang dan kenaikan harga tenaga mula memberi tekanan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal November depan.
“Konflik Iran dan masalah ekonomi terutamanya inflasi, menjadi faktor utama yang mempengaruhi sokongan rakyat Amerika terhadap Trump. Mereka menyalahkan Trump kerana melancarkan perang tanpa berfikir panjang.
“Orang ramai kecam Trump kerana terikut-ikut pujukan serta rayu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Selain konflik Iran, perang antara Ukraine dan Russia masih belum reda,” katanya.
Menurutnya, kenaikan harga tenaga memberi tekanan kepada Trump dan Parti Republikan, terutama di negeri-negeri sengit dan bakal menentukan penguasaan Kongres.
“Selain harga tenaga yang melambung tinggi, produk-produk lain seperti makanan harian turut meningkat.
“Walaupun Trump mendakwa Iran sudah hancur, ia tidak memberi kelegaan kepada rakyat Amerika kerana kehidupan harian mereka semakin terjejas.
“Isu kos sara hidup lebih penting bagi rakyat Amerika. Bukan sahaja Trump, malah Kabinet seolah-olah tidak memahami isu sebenar.
“Rakyat Amerika sudah tidak percaya dengan Trump dan menganggap tindakan melancarkan perang adalah satu kesilapan besar. Sekiranya beliau kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Perwakilan, maka Parti Demokrat akan memberi tekanan lebih hebat kepadanya,” jelasnya.
Katanya, perang dengan Iran menjadi punca untuk segala masalah termasuk inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.
“Ramai pengundi Hispanik kecewa dengan pemerintahan Trump selama dua tahun terutama berkaitan isu imigran kerana kebanyakan penduduk yang berasal dari Mexico dan Amerika Latin, tinggal di AS selama 10 hingga 20 tahun dihalau keluar,” katanya.
Tidak dinafikan setiap langkah atau keputusan yang dibuat Trump hanya memenuhi kepentingan AS semata-mata, dengan kos sara hidup menjadi isu utama susulan kenaikan harga tenaga akibat perang dengan Iran yang dilancarkan beliau pada 28 Februari lalu.
The post Trump semakin hilang sokongan pengundi? appeared first on Kosmo Online.

