Trump umum perjanjian Hamas lucut senjata di Gaza dicapai

WorldPolitics
31 Jul 2026 • 9:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Trump umum perjanjian Hamas lucut senjata di Gaza dicapai

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis mengumumkan satu perjanjian bagi pelucutan senjata sepenuhnya Hamas, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah pembentukan kerajaan Palestin yang baharu di Gaza.

Pegawai kanan Hamas memberitahu AFP bahawa perjanjian yang dicapai dengan Israel merangkumi peruntukan mengenai senjata kumpulan itu serta pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza.

“Persetujuan telah dicapai mengenai isu senjata. Selain itu, persetujuan juga dicapai mengenai pengunduran secara berperingkat (tentera Israel) dari Semenanjung Gaza,” kata seorang pegawai kanan Hamas.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Israel.

Pengumuman Trump dibuat selepas beberapa sumber yang mengetahui rundingan berterusan dengan pihak pengantara di Kaherah memberitahu AFP bahawa pergerakan Islamis Palestin itu sedang menuju ke arah perjanjian yang melibatkan penamatan penggunaan dan pelucutan senjatanya.

“Hari ini, Lembaga Keamanan telah mencapai satu perjanjian bersejarah bagi pelucutan senjata sepenuhnya Hamas dan semua kumpulan bersenjata lain di Gaza. Ini merupakan satu langkah besar ke arah keamanan dan keselamatan yang berkekalan,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

Beliau berkata, pelucutan senjata akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut struktur yang dirancang dengan teliti.

“Apabila pelucutan senjata selesai, tentera Israel akan berundur dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan bekerjasama dengan pasukan polis Palestin yang baharu untuk memikul tanggungjawab memastikan Gaza selamat untuk penduduknya serta negara-negara jirannya,” tambah beliau,.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkiye.

Isu rumit mengenai pelucutan senjata Hamas merupakan antara halangan utama dalam usaha memajukan perjanjian gencatan senjata yang telah berkuat kuasa antara Israel dan Hamas di Gaza sejak Oktober tahun lalu.

Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, keganasan berterusan di Gaza, dengan serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang termasuk dua kanak-kanak pada Khamis, menurut pegawai kesihatan. – AFP

 

The post Trump umum perjanjian Hamas lucut senjata di Gaza dicapai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved