Trump Umum Tarif 25% Ke Atas Malaysia Mulai 1 Ogos, Langkah Lindungi Industri Tempatan AS

8 Jul 2025 • 9:24 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan bahawa tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini, sebagai langkah melindungi industri tempatan Amerika daripada amalan perdagangan yang didakwa tidak adil.

Trump dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikongsi menerusi platform Truth Social berkata, keputusan itu adalah sebahagian daripada dasar baharu bagi mengekang ketidakseimbangan perdagangan antara AS dan beberapa negara.

“Kita tidak boleh lagi membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap kita.
“Mulai 1 Ogos, semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus,” katanya dalam surat tersebut.

image is not available

Trump Umum Tarif 25% Ke Atas Malaysia Mulai 1 Ogos

Malaysia antara beberapa negara yang disenaraikan bakal berdepan tarif 25 peratus, bersama Jepun, Korea Selatan, Tunisia dan Kazakhstan.

Negara lain yang dikenakan tarif lebih tinggi termasuk Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus), Serbia dan Bangladesh (35 peratus), Kemboja dan Thailand (36 peratus), serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar.

Terdahulu, pada 2 April lalu, Trump mengumumkan ‘tarif hari pembebasan’, memperkenalkan kadar asal 24 peratus ke atas import dari Jepun dan 25 peratus terhadap Korea Selatan, yang turut memberi kesan terhadap Malaysia.

image is not available

Bagaimanapun, pentadbiran Trump menangguhkan pelaksanaan tarif tersebut selama 90 hari bagi memberi ruang kepada rundingan perdagangan bersama negara-negara terlibat. Tempoh itu dijadualkan tamat Rabu ini.

Dalam perkembangan terbaharu, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt memaklumkan bahawa Trump akan menandatangani perintah eksekutif bagi melanjutkan tempoh penangguhan sehingga 1 Ogos.

“Kami telah menghantar surat pemberitahuan kepada negara-negara yang terbabit dan lebih banyak surat akan dihantar dalam beberapa hari lagi,” katanya lagi.

image is not available

Langkah ini dijangka menimbulkan reaksi daripada negara-negara terkesan, termasuk Malaysia, yang bergantung kepada hubungan dagang erat dengan Amerika Syarikat dalam pelbagai sektor utama.

Sumber: BH Online