hamden06/10/2026 - 17:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt - TSR Capital Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, TSR Bina Sdn Bhd (TSRB), akan menerima bayaran bersih RM2.56 juta susulan keputusan muktamad Tribunal Timbang Tara berhubung pertikaian penamatan subkontrak dengan Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd (SPYTL).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, TSRB menerima Keputusan Muktamad bertarikh 15 September 2026 yang dikeluarkan oleh Tribunal Timbang Tara.
Berdasarkan keputusan itu, jumlah bersih RM2.555 juta perlu dibayar kepada TSRB dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh keputusan.
Jumlah tersebut mengambil kira keputusan Tribunal yang mengekalkan penamatan subkontrak oleh SPYTL, selepas mengambil kira potongan yang dibenarkan kepada SPYTL, jumlah yang telah dibayar sebelum ini kepada TSRB di bawah keputusan adjudikasi serta kos.
Ia dikira daripada nilai kerja yang telah dilaksanakan sebanyak RM9.94 juta seperti yang dinilai oleh Tribunal.
TSR Capital berkata, keputusan itu dijangka memberi kesan positif terhadap pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham Kumpulan TSR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.
Syarikat berkata, pihaknya akan membuat pengumuman yang diperlukan sekiranya terdapat perkembangan material selanjutnya berkaitan perkara berkenaan. - DagangNews.com
