Tuah anak Kelantan! Potret Putera Mahkota Brunei hasil tangan Darwisy Mustafani sampai ke istana. Dihias 20 keping emas, 1,000 batu Swarovski

11 Mar 2026 • 10:41 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

TUAH menyebelahi seorang pelukis muda kelahiran Kelantan apabila bakat seni dimilikinya membuka peluang luar biasa untuk menghasilkan lukisan potret khas buat Putera Mahkota Brunei.

Pelukis muda, Muhammad Darwisy Mustafani, 25, tidak menyangka karyanya mendapat perhatian sehingga diberi kepercayaan melukis potret Pengiran Muda Mahkota Al‑Muhtadee Billah, Putera Mahkota kepada Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei.

Anak kelahiran Kampung Pulau Panjang itu berkata, peluang tersebut amat bermakna buat dirinya, lebih-lebih lagi apabila diberi penghormatan mempersembahkan sendiri lukisan berkenaan kepada Putera Mahkota di istana pada 17 Februari lalu sempena majlis ulang tahun keputeraan baginda.

"Pada awalnya saya menerima mesej melalui Instagram dalam November tahun lepas daripada wakil Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ingin menempah lukisan potret bertakhtakan emas dan batu Swarovski.

"Saya mula menghasilkan hampir 10 lakaran draf dan kertas kerja yang mengambil masa agak lama sebelum berjaya mendapat hasil yang benar-benar memuaskan serta diluluskan pihak istana," katanya ketika dihubungi Bernama.

image is not available

Muhammad Darwisy yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik berkata, dia hanya mempunyai kira-kira 20 hari untuk menyiapkan potret tersebut walaupun kebiasaannya karya seumpama itu memerlukan lebih daripada sebulan.

Selepas persetujuan dicapai, kain tenun jenis Silubang Bangsi dihantar kepadanya untuk dijadikan medium melakar potret Putera Mahkota menggunakan cat akrilik.

“Saya menyiapkan bahagian muka terlebih dahulu kerana itu bahagian paling rumit untuk mendapatkan lakaran yang benar-benar mirip.

“Pada tiga hari terakhir, saya hanya tidur kira-kira sejam sehari kerana bimbang lukisan tidak sempat disiapkan,” katanya.

Bagi sentuhan akhir, lukisan itu dihiasi dengan kira-kira 1,000 batu Swarovski hitam selain 20 kepingan emas wafer 999 yang setiap satunya bernilai sekitar RM180.

image is not available

Menurutnya, kepingan emas itu kemudiannya dipotong kepada 52 bahagian kecil sebagai simbolik kepada usia Putera Mahkota.

Lebih mengujakan, Muhammad Darwisy pada awalnya menyangka karya itu akan diserahkan oleh pegawai ABDB kepada pihak istana. Namun pada saat akhir, dia diberi kepercayaan untuk mempersembahkan sendiri potret tersebut kepada Putera Mahkota Brunei.

“Saya diminta mempersembahkan potret itu pada majlis santapan di Bangunan Kementerian Pertahanan dan selepas majlis tamat, saya diberi peluang masuk ke istana untuk menyerahkan karya tersebut.

“Perasaan ketika bertemu Putera Mahkota bercampur baur. Saya sangat gemuruh tetapi pada masa sama bersyukur kerana semuanya berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya lagi, Putera Mahkota turut bertanya beberapa soalan mengenai proses penghasilan lukisan tersebut.

Malah, Muhammad Darwisy tidak menyangka karyanya itu benar-benar menambat hati baginda.

"Saya tidak sangka lukisan itu menambat hati Putera Mahkota Brunei kerana pada awalnya ia dirancang diletakkan di Istana Brunei, namun telah diarahkan untuk dipindahkan ke pejabat baginda di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Hantaran mengenai pengalaman berharga itu di akaun TikTok miliknya, wisyilukis, turut mendapat perhatian ramai apabila video tersebut meraih lebih 1.6 juta tontonan serta lebih 100,000 tanda suka - Bernama