
TUAH memiliki wajah persis ‘orang putih’, pelakon Yusri John tidak menyangka beroleh peluang untuk menerajui filem tempatan Namatai: From Kinabalu With Love, yang akan menjengah pawagam esok (Khamis).
Biarpun ini cuma lakonan keduanya, pelakon kelahiran Kota Kinabalu ini terus diberikan kepercayaan besar oleh sutradara, Marlin Brando Malalin untuk memikul tanggungjawab sebagai tunjang utama.
Memegang watak sebagai seorang pegawai British bernama John, Yusri mengakui cabaran utama dihadapinya adalah untuk menguasai slang orang Inggeris berbahasa Melayu.
“Pada awalnya, saya menjangkakan lebih banyak dialog berbahasa Inggeris dengan aksen British tapi tidak sangka pula watak John lebih banyak memerlukan saya bercakap Melayu dengan loghat orang putih.


