Tuanku Muhriz berkenan terima menghadap, zahirkan dua Undang Luak

27 Jun 2026 • 5:46 PM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

Tuanku Muhriz berkenan terima menghadap, zahirkan dua Undang Luak

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Munawir hari ini berkenan menerima menghadap bagi menzahirkan kejadian Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 dan Undang Luak Rembau Ke-22 di Istana Besar Seri Menanti, di sini.

Pada istiadat yang diadakan secara berasingan, baginda menzahirkan kejadian Undang Luak Sungei Ujong Ke-11, Muhammad Faris Johari, 29, pada pagi tadi manakala pada sebelah petang pula giliran Hassan Ab Hamid, 67, dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau Ke-22.

Tuanku Muhriz dalam titahnya melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana istiadat menghadap bagi menzahirkan kejadian kedua-dua Undang Luak berkenaan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Beta dengan sukacitanya berkenan menerima penzahiran kejadian Muhammad Faris Johari sebagai Orang Kaya Beta, Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 dengan gelaran Dato’ Klana Petra.

“Pelantikan ini adalah selaras dengan perbilangan adat, patah tumbuh hilang berganti. Beta menyambut baik lafaz taat setia yang telah disembahkan oleh Orang Kaya Beta,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan dan berharap agar segala janji yang dilafazkan akan sentiasa dipegang dengan penuh keikhlasan, amanah serta rasa tanggungjawab.

Pada masa sama, Tuanku Muhriz mengingatkan agar Orang Kaya Dato’ Klana Petra sentiasa menjunjung taat setia kepada institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta memelihara hubungan erat dengan pihak istana.

Tegas baginda, hubungan yang terjalin atas dasar saling menghormati, kepercayaan dan muafakat merupakan asas penting dalam memastikan kelangsungan pemerintahan beraja, kedaulatan adat serta kesejahteraan negeri sentiasa terpelihara.

“Beta turut menyeru agar rakyat Beta di Luak Sungei Ujong dan di semua Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung untuk bersama-sama dengan kepimpinan adat bagi memperkemas serta melaksanakan urusan adat dengan baik.

“Hormati dan junjunglah nilai adat yang kita warisi sejak zaman-berzaman dengan berpegang teguh kepada perbilangan Anak Buah Berbuapak, Suku Berlembago, Luak Berpenghulu, Alam Berajo.

“Di samping itu, peliharalah tali persaudaraan antara satu sama lain ibarat bercincang berlandasan, melompek bertumpuan, air dicincang tidak akan putus,” titah baginda.

Sementara itu, dalam istiadat penzahiran Undang Luak Rembau, Tuanku Muhriz berkenan menerima penzahiran kejadian Hassan Ab Hamid sebagai Orang Kaya Beta, Undang Luak Rembau Ke-22 dengan gelaran Dato’ Sedia Raja.

“Pelantikan ini merupakan satu amanah besar yang lahir daripada pemuafakatan adat. Ia hendaklah dipikul dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi memelihara keluhuran adat serta kesejahteraan rakyat di Luak Rembau.

“Sebarang perselisihan atau permasalahan hendaklah ditangani dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan semangat muafakat,” titah baginda.

Baginda turut mengulangi seruan agar seluruh rakyat di Luak Rembau, Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung terus berganding bahu memperkukuh pelaksanaan adat dan memelihara warisan turun-temurun.

“Junjuklah nilai adat yang menjadi teras Negeri Sembilan dengan berpegang teguh kepada perbilangan adat yang sama. Peliharalah semangat persaudaraan yang harmoni kerana kekuatan masyarakat terletak pada perpaduan dan muafakat.

“Beta berdoa semoga Allah sentiasa mengurniakan petunjuk, rahmat dan keberkatan kepada kita semua serta memelihara Negeri Sembilan dalam keadaan aman, makmur dan dirahmati,” titah baginda.

Turut berangkat pada kedua-dua istiadat tersebut ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-Abidin. Hadir sama ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terdahulu, Muhammad Faris yang merupakan seorang akauntan dipilih sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11 secara bulat muafakat oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-waris Klana Hulu pada 22 April lalu.

Pemilihan tersebut dibuat selepas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menerima pemberhentian Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong Ke-10 sebelum ini.

Sementara itu, pemilihan Hassan yang juga seorang pesara guru pula dibuat berpandukan pihak Dato Adat Rembau melalui Buapak Delapan Kampung yang mengadakan istiadat kerapatan sebanyak dua kali sebelum memilih Kampung Tanjong sebagai ‘benih’ calon.

Jawatan Undang Luak Rembau sebelum ini kosong selepas penyandangnya yang Ke-21, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman meninggal dunia pada 15 Mei 2024 akibat sakit tua ketika berusia 82 tahun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved