Tubuh majlis pembangunan usahawan, peniaga kecil peringkat daerah: Ewon

24 Dec 2022 • 3:50 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencadangkan penubuhan sebuah majlis pembangunan usahawan, koperasi, penjaja, dan peniaga kecil di setiap daerah di negara ini bermula tahun depan.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata majlis yang bakal dipengerusikan Pegawai Daerah masing-masing diharap dapat mengurus pembangunan dan menyelesaikan isu melibatkan usahawan, koperasi, penjaja, dan peniaga kecil di peringkat akar umbi secara lebih berkesan.

Beliau berkata sebelum ini, terdapat majlis pembangunan usahawan dan koperasi di peringkat Parlimen, namun majlis itu perlu diperkasa, dan melihat ke hadapan majlis peringkat daerah dicadangkan itu ialah langkah terbaik bagi memperkasa usahawan, koperasi, penjaja, dan peniaga kecil.

“Majlis ini bukan hanya dapat selesaikan hal perlesenan, tetapi juga perkara lain melibatkan kemudahan infrastruktur di daerah. Hal pembiayaan jika tidak dapat diselesaikan, majlis ini akan maklumkan kepada kementerian (KUSKOP)... Kita juga akan beri geran pentadbiran kepada majlis ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Kesepaduan Komuniti Usahawan dan Koperasi Parlimen Penampang di sini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Pada majlis itu juga, 42 usahawan dan koperasi menerima pembiayaan melalui agensi KUSKOP iaitu TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Corporation Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia, UDA Holdings Berhad dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia melibatkan lebih RM5.27 juta. - Bernama