Tubuh pasukan petugas khas tepati masa elak peningkatan kemalangan - Lam Thye

LocalPolitics
7 Jan 2025 • 10:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lam Thye

SHAH ALAM - Inisiatif kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengkaji dan menangani isu keselamatan berkaitan kenderaan berat menepati masa dalam usaha mengelakkan peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya.

Pengerusi Perikatan Untuk Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya menyokong penuh penubuhan pasukan tersebut kerana ia penting untuk menangani kematian yang melibatkan kenderaan berat.

“Walaupun kenderaan berat termasuk lori kontena, lori tangki dan peralatan pembinaan penting untuk ekonomi, tetapi kehadiran mereka di jalan raya menimbulkan risiko keselamatan yang ketara.

“Tambah lagi, apabila langkah yang betul tidak dilaksanakan. Antara isu serius mempengaruhi keselamatan jalan raya adalah, penyelenggaraan kenderaan lemah seperti brek haus, tayar rosak dan sistem pencahayaan tidak berfungsi.

“Bukan itu sahaja, keletihan juga menjadi punca utama kerana mereka menghadapi waktu kerja panjang jadi ia menyebabkan keletihan dan penurunan keupayaan membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menangani isu keselamatan kenderaan berat secara menyeluruh, kata Menterinya, Anthony Loke.

Dalam ucapan pada majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Putrajaya pada Isnin beliau berkata, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Dalam pada itu, Lam Thye juga berkata, muatan berlebihan, latihan dan pelesenan tidak mencukupi, kelemahan penguatkuasaan, reka bentuk jalan yang tidak memadai serta kawasan rehat atau kemudahan logistik terabai turut menyumbang kepada peningkatan kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Susulan itu, beliau memberi cadangan kepada pasukan petugas berkenaan isu tersebut antaranya ialah mewajibkan pemeriksaan berkala kenderaan berat dan mengintegrasikan sistem pemantauan automatik, memperkuat mekanisme penguatkuasaan termasuk penalti lebih berat untuk pelanggaran keselamatan serta meningkatkan program latihan pemandu agar memenuhi standard antarabangsa.

“Nyawa yang hilang akibat kemalangan kenderaan berat bukan sekadar statistik... mereka adalah keluarga yang hancur dan komuniti berduka.

“Kita mesti bertindak sekarang untuk mengutamakan keselamatan semua pengguna jalan raya dan mencegah tragedi selanjutnya. Marilah kita bekerjasama menjadikan jalan raya kita lebih selamat buat semua,” katanya.