Tuduhan ‘komisen projek’ percubaan burukkan nama, imej saya – Fairuz

LocalPolitics
21 Nov 2025 • 5:23 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KOTA BELUD: Penyandang kerusi Pintasan yang bertanding atas tiket Bebas, Datuk Fairuz Renddan (gambar) menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan namanya dengan isu “komisen projek”.

Fairuz menyifatkan tuduhan bahawa beliau menerima 30 peratus sebagai syarat kelulusan projek kepada ahli perniagaan yang melobi sebagai percubaan untuk memburukkan namanya.

“Ini helah pihak yang busuk hati, tiada modal kempen dan memilih jalan mudah untuk ‘membunuh’ imej saya dengan isu murah seperti ini.

“Mungkin mereka kehabisan modal kempen pilihan raya atau memang tidak ada isu yang mahu difokuskan hingga perlu ‘mengotorkan’ nama saya?“Saya tidak usik sesiapa dan saya bertanding atas tiket Bebas kerana kehendak saya. Saya masih mahu meneruskan apa yang sudah saya mulakan untuk rakyat Pintasan khasnya,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Menurut Fairuz, tuduhan itu adalah tidak berasas dan palsu, sambil menegaskan bahawa tidak ada sebarang bukti rasmi berhubung isu berkenaan.

“Tuduhan yang mengatakan saya menggunakan kedudukan wakil rakyat sebagai perisai daripada siasatan dan pengawasan adalah tidak benar dan jelas palsu.

“Dakwaan ini sangat berat, busuk dan penuh sentimen untuk memburukkan nama saya khususnya selepas saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Pintasan,” katanya.

Menjelaskan dakwaan yang membabitkan ahli perniagaan kontroversi Albert Tei, Fairuz berkata wang RM5,000 yang diterima dalam akaun Public Banknya adalah sumbangan bagi pembelian bakul makanan semasa Covid-19.

“Saya tidak ada masalah kalau dia mahu saya pulangkan wang tersebut.

“Semasa wang itu dimasukkan ke akaun Public Bank, ia dinyatakan sebagai sumbangan atau bantuan untuk bayaran bakul makanan kepada rakyat ketika itu,” katanya.

Fairuz menegaskan kempen pilihan raya seharusnya dijalankan secara sihat sebagai tanda kematangan politik.

“Sebarang propaganda atau fitnah yang merosakkan imej pihak lawan sangat tidak boleh diterima,” katanya sambil menekankan bahawa perbuatan itu tidak mencerminkan pemikiran rasional atau pengalaman sebenar pemimpin.