
JAKARTA – Satu klip video menunjukkan seorang nenek dikasari orang ramai di Pasar Saptu, Desa Situ Udik dalam wilayah Jawa Barat menjadi tular di media sosial, lapor laman berita VOA Bogor semalam.
Warga emas itu didakwa mencuri barang daripada seorang peniaga sebelum ditangkap oleh penduduk dan diperlakukan dengan kasar, termasuk pakaian dan tudungnya dikoyakkan.
Kejadian itu diketahui berlaku pada Sabtu lalu.
Berdasarkan maklumat polis, wanita berumur 60 tahun yang dikenali dengan singkatan nama RU itu ditangkap ketika mengambil sandal dari kedai milik seorang peniaga bernama Didah.
Insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
Video tular itu memaparkan nenek berkenaan dikelilingi oleh beberapa lelaki dan dibawa keluar dari kawasan pasar.
Seorang lelaki malah menanggalkan tudung RU dan memotong bahagian atas pakaiannya dengan pisau.
Kejadian itu mendapat perhatian orang ramai kerana dakwaan kecurian itu akhirnya membawa kepada keganasan terhadap seorang wanita warga emas.
Ketua Polis Cibungbulang, Pesuruhjaya Suyoko berkata, barangan yang didakwa dicuri termasuk lapan paket minyak masak, mi segera, tempe, bawang putih, cili, bebola daging, bahan pencuci, sabun buku dan sandal.
Semua barang curi telah dipulangkan kepada pemiliknya.
Polis kemudian mengesan RU untuk mengesahkan identiti dan keadaannya.
Hasil siasatan lanjut, Suyoko menyatakan bahawa RU didakwa mencuri akibat kesempitan hidup.
Suaminya dilaporkan jatuh sakit selama empat tahun, memerlukan RU untuk menguruskan rumah tangga dan menjaganya. – AGENSI
The post Tudung nenek dikoyak kerana curi mi segera appeared first on Kosmo Online.
