Tuhfat al-Nafis dilancar, usaha sama Malaysia-Indonesia terbit versi terbaharu

27 Sep 2023 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

Daripada Fazallah Pit

JAKARTA, 27 SEPT: Dua buku termasuk versi terbaharu karya terkenal Tuhfat al-Nafis hasil usaha sama Malaysia dan Indonesia dilancarkan dalam Pesta Buku Antarabangsa Indonesia di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan mantan wakil Presiden Indonesia Drs Muhammad Jusuf Kalla menyempurnakan pelancaran naskhah yang diusahakan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Universiti Negeri Makasar (UNM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Terdiri dalam banyak versi, Tuhfat al-Nafis: Jejak Susur Gulur Keturunan Melayu dan Bugis serta Raja-rajanya yang dilancarkan kali ini berdasarkan manuskrip asal yang tersimpan di muzium Indonesia.

Tuhfat al-Nafis karangan pujangga terkenal Raja Ali Haji antara 1866 hingga 1870 memuatkan pelbagai peristiwa penting melibatkan masyarakat Melayu-Bugis di rantau ini.

Selain memindah manuskrip jawi itu kepada rumi, Guru Besar Sejarah Kebudayaan dan Kepariwisataan di Universitas Negeri Makasar Prof Dr Andi Ima Kesuma juga menghasilkan buku Dinamika Orang Bugis ke Johor Pada Abad ke-18.

Sesi perbincangan bertema Ukhuwah Jati Diri ke Arah Menduniakan Nusantara dijalankan sebaik usai majlis pelancaran itu. Dimudah cara Pengerusi ITBM Noor Amin Ahmad, kupasan dibuat Amirudin, Prof Dr Andi dan mantan Naib Cancelor UTM Datuk Dr Wahid Omar.

image is not available
Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bersama mantan wakil Presiden Indonesia Drs Muhammad Jusuf Kalla merasmikan Peluncuran Buku Tuhfat al- Nafiz dan Dinamika Orang Bugis Ke Johor Pada Abad Ke-18 ketika Pameran Buku Antarabangsa Indonesia di Pusat Konvensyen Pameran Indonesia (ICE) BSD City, Jakarta pada 27 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI