Tuju Setia menang kontrak RM359.3 juta daripada Sime Darby Property bina pangsapuri servis di Ara Damansara

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2026 • 6:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tuju Setia menang kontrak RM359.3 juta daripada Sime Darby Property bina pangsapuri servis di Ara Damansara Image from: Tuju Setia menang kontrak RM359.3 juta daripada Sime Darby Property bina pangsapuri servis di Ara Damansara hamden15/04/2026 - 18:12 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 April - Tuju Setia Berhad memperoleh kontrak pembinaan projek kediaman bertingkat tinggi bernilai RM359.3 juta daripada Sime Darby Property, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam sektor pembinaan.

 

Kontrak tersebut melibatkan pelaksanaan pembangunan Ara Bloc Residences di Ara Damansara oleh anak syarikat milik penuhnya, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd yang dilantik sebagai kontraktor utama.

 

Susulan perolehan kontrak baharu itu, buku tempahan tertunggak kumpulan meningkat ke paras tertinggi baharu sebanyak RM2.4 bilion, menyediakan keterlihatan pendapatan yang kukuh sehingga 2029.

 

Projek berkenaan merangkumi pembinaan tiga blok pangsapuri servis dengan podium sembilan tingkat yang menempatkan kemudahan, parkir, unit runcit, utiliti dan lobi. Ia dijadualkan bermula pada 21 April 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 40 bulan.

 

Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata, penganugerahan kontrak tersebut mencerminkan kepercayaan berterusan daripada Sime Darby Property serta menjadi pemangkin kepada kumpulan untuk terus mengekalkan standard penyampaian projek yang berkualiti tinggi dan menepati masa.

 

“Kontrak ini merupakan antara pencapaian utama kami bagi tahun kewangan 2026 ketika kami aktif membida pelbagai projek merangkumi hospital, kediaman bertingkat tinggi dan bangunan industri,” katanya.

 

Beliau berkata, dengan beberapa projek sedia ada yang hampir siap, kumpulan kini mempunyai kapasiti untuk mengambil lebih banyak projek baharu bagi mengekalkan momentum pertumbuhan.

 

Dalam masa sama, beliau mengakui konflik di Timur Tengah berpotensi memberi kesan kepada harga komoditi global, namun menegaskan keutamaan syarikat kekal kepada pelaksanaan projek secara cekap dan berkualiti.

 

Terletak di atas kawasan seluas 1.9 ekar, Ara Bloc Residences merupakan pembangunan pegangan bebas yang direka untuk gaya hidup moden dengan susun atur praktikal serta kemudahan runcit bersepadu.

 

Pembangunan itu turut menawarkan akses mudah ke lebuh raya utama termasuk LDP, NKVE dan Lebuhraya Persekutuan, selain berdekatan Lapangan Terbang Subang serta pelbagai kemudahan awam. - DagangNews.com

Terkini standard