
TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Isnin memberi amaran akan mendedahkan sasaran dan senjata baharu, selain membangkitkan isu kabel internet utama di dasar laut yang merentasi Selat Hormuz ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) kian memuncak.
Awal bulan ini, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei memberitahu penyiar negara Iran, Press TV, bahawa Teheran boleh menyasarkan kabel internet dasar laut, pusat data dan kemudahan kecerdasan buatan (AI) yang mempunyai kaitan dengan AS sekiranya perang kembali tercetus.
Ketika itu, beliau berkata, Iran masih belum memasukkan aset-aset ini dalam senarai sasaran serangan dan memberi amaran bahawa infrastruktur berkenaan boleh dimusnahkan jika konflik kembali meletus.
Bagaimanapun, jurucakap IRGC, Hossein Mohebbi berkata pada Isnin yang memberi peringatan kepada AS bahawa terdapat tujuh kabel internet utama merentasi dasar Selat Hormuz yang ketika ini dikawal oleh Iran.
Beliau berkata, semua trafik data internet dan komersial melalui kabel di dasar Selat Hormuz.
“Kami hanya mahu mereka tahu bahawa sasaran baharu akan didedahkan. Senjata baharu juga akan diperkenalkan,” katanya.
Mohebbi berkata demikian pada satu majlis di Muzium Pertahanan Suci di Teheran, menurut penyiar negara Iran, IRIB.
Beliau turut berikrar untuk mengusir saki baki pengaruh AS dari rantau itu.
“Kami masih belum memasukkan aset-aset ini dalam senarai sasaran kami,” kata Rezaei, sambil memberi amaran bahawa infrastruktur berkenaan boleh dimusnahkan jika konflik kembali meletus.
AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari selepas rundingan mengenai senjata nuklear dengan AS gagal menemui penyelesaian di Switzerland.
Teheran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke seluruh rantau itu serta secara menutup Selat Hormuz, manakala Washington kemudian mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan negara tersebut.
AS dan Iran turut menandatangani memorandum persefahaman pada Jun berhubung kebebasan pelayaran di selat itu tetapi pelaksanaannya terhenti akibat perselisihan mengenai keselamatan di laluan perairan strategik berkenaan.
Disebabkan kedudukan geografinya, Selat Hormuz merupakan pintu masuk penting yang menghubungkan negara-negara Teluk Parsi dengan rangkaian internet global.
Beberapa sistem kabel dasar laut melalui selat itu dan perairan sekitarnya sekali gus menghubungkan negara-negara Teluk Parsi dengan laluan antarabangsa yang merentasi India, Asia Timur, Afrika serta Eropah.
Negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Kuwait, Oman dan Arab Saudi bergantung pada gabungan kabel dasar laut dan rangkaian darat untuk komunikasi antarabangsa.
Dalam rangkaian ini, Selat Hormuz bukan sekadar laluan maritim, malah sebahagian daripada infrastruktur fizikal yang menghubungkan komunikasi digital rantau itu dengan seluruh dunia.
Aplikasi pesanan, panggilan video, perbankan dalam talian, perkhidmatan awan dan sebahagian besar operasi syarikat teknologi semuanya bergantung pada kabel dasar laut.
The post Tujuh kabel di dasar laut Selat Hormuz jadi sasaran Iran? appeared first on Utusan Malaysia.

