KUALA LUMPUR - Tujuh kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat akibat jerebu rentas sempadan setakat jam 4 petang ini.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Serian merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 165, diikuti Sri Aman (161), Kuching (160), Mukah (154), Samarahan (135), Bintulu (130) dan Sibu (129).
Sementara itu, sebanyak 55 kawasan di negeri itu merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana (51 hingga 100) manakala enam kawasan lagi mencatatkan tahap kualiti udara baik (bawah 50).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, kualiti udara dalam negara pada Rabu didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan kawasan di Sarawak yang disebabkan oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Beliau berkata, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, sebanyak 1,079 titik panas dikesan di Kalimantan, 20 di Sumatera dan lapan titik panas di dalam negara, iaitu tiga di Sabah dan lima di Sarawak.
"JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
"Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi talian 999 atau JAS (1-800-88-2727). - Bernama






