Tukang jahit derita ketumbuhan lidah

Health & Fitness
6 Aug 2026 • 7:41 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tukang jahit derita ketumbuhan lidah

MARANG: Seorang pemuda terpaksa menahan kesakitan akibat ketumbuhan lidah tahap dua yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah menyebabkan berat badannya susut lapan kilogram selepas rawatan radioterapi dan kemoterapi.

Mohd. Arif Mahadi, 33, dari Kampung Rawai di sini berkata, penderitaan itu bermula apabila lidahnya bengkak sebelum dia mendapatkan pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Katanya, selepas sampel ketumbuhan pada lidah diambil untuk pemeriksaan lanjut, dia dirujuk ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) serta Pusat Kanser Tun Abdullah Badawi di Pulau Pinang untuk rawatan.

“Pada April lalu, saya menjalani rawatan hibrid melibatkan radioterapi dan kemoterapi secara serentak selama tiga bulan. Saya menjalani 33 sesi radioterapi dan enam kali kemoterapi.

“Kesan rawatan sangat menyakitkan sehingga saya tidak mampu makan dan hanya bergantung kepada susu yang diminum melalui tiub,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Mohd. Arif berkata, berat badannya susut daripada 60 kilogram (kg) kepada 52kg akibat tidak dapat mengambil makanan seperti biasa sepanjang menjalani rawatan.

Katanya, dia terpaksa menggunakan wang simpanan untuk menampung kos rawatan yang mencecah puluhan ribu ringgit, selain menanggung kos penginapan sepanjang di Pulau Pinang.

“Kos rawatan radioterapi dan kemoterapi kira-kira RM30,000 manakala kos wad pula RM27,000 untuk tempoh seminggu manakala untuk rawatan laser lidah berjumlah RM17,000.

“Sepanjang tiga bulan menjalani rawatan, menyewa inap desa dengan kadar RM2,100 sebulan. Saya tiada pilihan dan terpaksa guna wang simpanan yang ada untuk membayar semua kos berkenaan,” katanya.

Mohd. Arif yang bekerja sebagai tukang jahit di bandar Kuala Terengganu berkata, dia kembali ke kampungnya bulan lalu dan kini cuba meneruskan pekerjaan dengan menerima tempahan pakaian bagi mendapatkan pendapatan untuk menyara keluarga.

Katanya, dia memerlukan kira-kira 15 tin susu khas sebulan selain ubat tahan sakit dan ubat untuk merawat ulser akibat kesan rawatan.

“Kos memang tinggi, tetapi saya tiada pilihan. Bulan depan saya perlu kembali ke Pulau Pinang untuk menjalani rawatan susulan. Agak berat untuk saya menanggung semua ini kerana isteri, Rahimah Mohammad Alias, 30, tidak bekerja dan saya perlu menyara dua anak,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh saluran sumbangan ke akaun Bank Islam Mohd. Arif di nombor 13017028994493. –UTUSAN

The post Tukang jahit derita ketumbuhan lidah appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved