Tukang masak tidak mengaku salah simpan tenggiling

LocalPolitics
3 Mar 2026 • 12:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh hadir ke Mahkamah Sesyen Tawau.

TAWAU - Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memiliki seekor tenggiling, iaitu spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, di sebuah resort di Semporna.

Tertuduh, Mohammad Ali Iqram Thien Abdullah, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki seekor tenggiling hidup (Manis javanica) yang ditemui di dalam tong plastik berwarna hitam pada jam 5.35 petang, 23 Februari lalu di resort berkenaan.

Haiwan tersebut merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 13 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, dan pemilikan itu didakwa tanpa sebarang kebenaran sah mengikut enakmen sama.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 41(4)(a) enakmen sama.

Jika disabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari lima tahun.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM15,000 bersama seorang penjamin dan pasportnya diperintahkan untuk diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga diarahkan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Primus Lambut manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Chun Yuan.