
KUALA TERENGGANU - Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas mengaku salah menculik seorang wanita di ladang kelapa sawit Kampung Kuala Akob dekat Hulu Terengganu, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan hukuman ke atas tertuduh, Suparman Aman, 46, dijalankan bermula tarikh tangkap pada 15 Mac 2022.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menahan mangsa yang ketika itu berusia 28 tahun dengan niat meminta wang tebusan sebanyak RM400,000 sebelum menerima RM50,000 yang dibayar oleh majikan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi terbabit sekitar jam 3 pagi pada 24 Januari 2017.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 2 Julai 2020, tiga rakan subahat tertuduh, iaitu Mohd Zairol Nizan Md Nor, Mohd Khairul Anuar Musa dan Abdul Hadi Abu Bakar, masing-masing berusia 40, 42, serta 25 tahun ketika itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini
Hukuman itu diputuskan selepas mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 3 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mohd Zairol Nizan dihukum tujuh sebatan manakala Mohd Khairul Anuar serta Abdul Hadi menerima hukuman lima sebatan.


