Tukar MB Kelantan Bukan Sebab Tergugat Tapi Kerana Kesihatan  - Hadi

Politics
12 Aug 2023 • 11:46 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Abdul Hadi Awang (berjubah) bersalaman dengan seorang pengundi ketika tiba di SK Rusila - gambar Ana Maria Yusoff

MARANG - Keputusan PAS untuk menggantikan jawatan menteri besar di Kelantan adalah atas permintaan Datuk Ahmad Yaakob sendiri kerana faktor kesihatan. 

Tegas Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang, perubahan jawatan menteri besar termasuk timbalannya tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan kononnya kedudukan PAS tergugat di negeri itu. 

"Menteri Besar undurkan diri kerana uzur. Dulu pun beliau merayu supaya kita lantik orang lain. Tapi kita minta beliau teruskan lagi . 

“Tengah-tengah (pentadbiran) itu pun dia desak minta ganti  atas faktor keuzuran. Berapa kali menteri besar terima rawatan. Jadi kali ini (kita) pertimbangkanlah, kesian pada beliau,” katanya kepada media selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, di sini. 

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai keputusan PAS semalam untuk membuat perubahan jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar sekiranya parti itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. 

Jelas Abdul Hadi, perubahan tampuk kepimpinan negeri akan memberi satu perubahan positif dan ia perlu dilakukan memandangkan PAS sudah sekian lama mentadbir Kelantan. 

image is not available
Abdul Hadi (berjubah) menunaikan tanggungjawab membuang undi - gambar Ana Maria Yusoff

“PAS sudah lama sangat memerintah, 30 tahun. Tiga puluh tahun tu letihlah orang yang bertugas tu, " katanya. 

Pada masa sama beliau berkata, PAS sudah mempunyai calon menteri dan timbalan menteri besar yang baharu. 

Serentak dengan itu Hadi memberi jaminan, calon kepimpinan baharu tersebut pasti akan diterima rakyat Kelantan. 

Terdahulu, Hadi selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di SK Rusila di sini pada jam 8.26 pagi tadi. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sempat beramah mesra dengan orang ramai di pusat mengundi itu. - Getaran, 12 Ogos 2023