Tukar slogan ‘dulu lawan, sekarang kawan’

Politics
14 May 2023 • 6:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saifuddin ketika berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan parti itu akan berusaha untuk menukar slogan ‘lawan tetap lawan’ kepada ‘dulu lawan, sekarang kawan’.

Beliau berkata, perubahan itu sanggup dilakukan demi memastikan Kerajaan Perpaduan bertambah kukuh dan stabil, selain berupaya berfungsi dengan baik demi kepentingan rakyat.

“Kami dalam reformasi ada slogan begitu (iaitu) lawan tetap lawan, saya bimbang juga. Jadi sekarang kena ‘adjust’ (tukar) sikit, (kalau) dahulu ketika saya ceramah sahaja, Mahfuz (Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar) akan kata ‘lawan tetap lawan’.

“Sekarang (tukar) 'dulu kawan sekarang lawan', kena tambah itu dalam ayat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi menyokong kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menggesa kerajaan perlu mengutamakan rakyat dengan sifat resposif, progresif, inklusif dan mendengar suara mereka.

Slogan ‘lawan tetap lawan’ mula digunakan PKR terutama Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merujuk konsep melawan musuh dan bukan sesama rakan dalam perjuangan politik.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, penubuhan Kerajaan Perpaduan mempunyai kepentingan bersama dalam menyumbang kestabilan politik, memakmur dan merakyatkan ekonomi serta menyumbang kepada keamanan negara di samping asas perpaduan sesama Muslim melalui syahadah.

“Konvensyen hari ini diadakan selepas usia pemerintahan (kerajaan) menjengah enam bulan. Jadi apa yang kita nak bawa balik selepas ini adalah satu keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan kukuh, stabil dan dapat berfungsi dengan baik. Itu penting sekali.

“Kerajaan mendokong kuat asas yang disepakati dalam Perlembagaan (merangkumi) kedudukan Islam agama rasmi, agama lain boleh dianuti, mengiktiraf peranan institusi Raja-Raja dan bahasa namun matlamat akhirnya adalah pembelaan rakyat,” ujarnya.