Tukar topi keledar baharu di program MADANI rakyat

23 Feb 2024 • 2:02 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA SELANGOR: Pengunjung Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini, tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan topi keledar baharu yang diagihkan secara percuma.

Sebanyak 1,000 topi keledar percuma disediakan di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pengunjung terawal setiap hari sepanjang tempoh tiga hari program itu berlangsung bermula hari ini.

Orang ramai yang ingin membawa pulang topi keledar percuma itu perlu membawa topi keledar sedia ada dan lesen memandu bagi proses penukaran.

Pengunjung yang ditemui Bernama meluahkan rasa gembira selain memuji inisiatif yang diilhamkan Kerajaan Perpaduan yang disifatkan mereka sebagai amat membantu rakyat.

E.Subrayan, 80, berkata beliau yang menetap di Tanjung Karang, Selangor datang untuk menukar topi keledar percuma selain membeli barang keperluan yang dijual murah sempena program itu.

“Memang saya tunggu program ini datang ke kawasan kami untuk dapatkan helmet (topi keledar) percuma. Terima kasih kerajaan kerana bantu golongan B40 seperti kami.

“Program seperti ini kami harap dapat diperluaskan lagi ke setiap daerah terutama di kawasan luar bandar,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Nadzahar Cendana, 45, mencadangkan agar kerajaan mengagihkan topi keledar kanak-kanak pada program seumpama itu pada masa hadapan.

Beliau berkata proses penukaran dan tuntutan topi keledar percuma itu amat mudah dan cepat dengan lebih lima kaunter yang disediakan pihak JPJ.

“Hari ini datang memang nak tukar topi keledar baharu...saya cadangkan selepas ini kerajaan turut sediakan agihan atau penukaran topi keledar kanak-kanak juga,” katanya.

Program yang bermula 9 pagi hingga 10 malam itu ialah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Pelbagai acara serta perkhidmatan menarik ditawarkan, selain menjadi platform terbaik untuk rakyat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi yang berkaitan.-Bernama