Tular Anggota Merokok Di Restoran, Siasatan Tatatertib Dijalankan – Polis

LocalPolitics
27 Oct 2025 • 4:57 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis Johor mengesahkan sedang menjalankan siasatan tatatertib terhadap seorang anggotanya susulan penularan satu video memaparkan individu berpakaian seragam polis merokok di dalam sebuah restoran di Taman Tasik Indah, Kluang, baru-baru ini.

Polis merokok merupakan anggota IPD Kluang

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hasil semakan mendapati individu dalam video berdurasi tujuh saat itu merupakan anggota polis yang sedang bertugas di IPD berkenaan.

image is not available
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya memandang serius tindakan tersebut dan akan menjalankan siasatan tatatertib terhadap anggota terbabit termasuk dari aspek penyeliaan.

“Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang mencemarkan imej pasukan,” katanya.

Beliau menegaskan, setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa menjaga disiplin dan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat selaras dengan etika dan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

image is not available

Terdahulu, video berdurasi tujuh saat itu menjadi tular di media sosial selepas memperlihatkan dua anggota polis sedang duduk di sebuah restoran, dengan salah seorang daripada mereka dilihat merokok.

Rakaman berkenaan mendapat pelbagai reaksi netizen yang menganggap perbuatan itu tidak wajar dan menjejaskan nama baik pasukan keselamatan.

Sumber: Facebook @Polis Daerah Kluang