
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam (14 Jun) tular di media sosial video dari TikTok memaparkan perbualan seorang wanita dan anggota polis lengkap beruniform dipercayai di tepi jalan sebuah kawasan sekitar ibu negara.
Menerusi rakaman, kedengaran anggota polis yang dipercayai sedang bertugas itu mengajak wanita terbabit untuk meluangkan masa bersama di rumahnya.
Lebih mencuri tumpuan, selepas wanita itu cuba memberi alasan, dia turut mencadangkan beberapa lokasi lain agar mereka boleh bertemu termasuk di kediaman atau ‘check in’ (mendaftar masuk) di hotel.
Dalam video sama, individu berkenaan turut mendakwa anggota itu terus mendesaknya untuk ‘lepak’ bersama walau hanya 10 minit selepas dia tetap menolak ajakannya.
“(Dia) desak ajak lepak kat tangga rumah kedai tu ’10 minit je kejap je’.”
Penularan video dan pendedahan tersebut di media sosial termasuk X nyata mencetuskan kemarahan orang ramai yang mahu anggota berkenaan disiasat.

Dalam masa sama, turut tular tangkap layar pendedahan wanita itu yang mendakwa dia baru sahaja pulang dari balai namun tidak meneruskan hajatnya untuk membuat laporan polis.
Malah dia mendakwa ada cubaan untuk melindungi anggota polis terbabit justeru orang ramai perlu merakam untuk dijadikan bahan bukti.
“Aku baru balik dari balai, tak jadi buat report. Polis sentiasa cover polis, jadi lepas ni kalau jadi apa-apa rakam untuk jadikan bahan bukti.
“Saya tak boleh terima anggota polis tu cakap saya seolah-olah ‘nak views dan like’.”

Wanita Diajak Check Ini Diminta Tampil Bantu Siasatan – PDRM
Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon wanita yang memuat naik video perbualan tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail dalam satu kenyataan berkata, Ketua Polis Balai Pandan Indah mengesan satu hantaran video yang tular memaparkan perbualan seorang anggota polis dan seorang wanita bangsa tidak pasti berdurasi 1 minit 30 saat di laman sosial Instagram yang berbaur mengaibkan kesantunan wanita terbabit pada jam 5 petang semalam.
Menurutnya, video tersebut yang dimuat oleh seorang wanita di laman sosial TikTok @shaamajinbuulalu turut tular ke laman sosial Instagram.
“Oleh itu, polis menyeru individu terbabit tampil untuk membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau dengan pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Hida Hayati bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Anggota polis terlibat dikeluarkan dari penugasan sedia ada
Tambah beliau lagi, anggota berkenaan juga telah dikenal pasti serta dikeluarkan dari penugasan sedia ada, lapor Sinar Harian.
Susulan itu siasatan susulan sedang dijalankan berhubung insiden terbabit
“Siasatan yang dijalankan telah mengenal pasti anggota polis berkenaan dan individu itu telah dikeluarkan dari penugasannya.
“Setakat ini, siasatan selari tatatertib juga dijalankan terhadap anggota terbabit,” katanya lagi.
JIPS & Bukit Aman Jalankan Siasatan
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, CP Datuk Seri Azri Ahmad dalam satu kenyataan pula memaklumkan pihaknya dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman juga sudah menjalankan satu siasatan tataterbit selari ke atas anggota pegawai rendah polis tersebut termasuk dari aspek penyeliaan.
“Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai polis dan pegawai penyelia sekiranya aduan tersebut berasas.”
Kes disiasat bawah Seksyen 509KK dan Seksyen 223 Akta Komunikasi Multimedia
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Seksyen 509 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima (5) tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.



